setiap hari kita membaca akhbar...kebanyakan dari kita hanya akan membaca berita2 utama atau isu2 yang hangat ketika itu sahaja dan kita terlepas pandang pada rencana2 yang saya rasa amat berguna kerana jika kita baca pasti kita akan dapat merasakan setiap kata2 dan ayat dlm rencana itu dapat dijadikan pedoman dan menambah ilmu pengetahuan...terutama kpd pelajar...kerana ia dapat membantu mereka dlm mencari isi untuk membuat karangan yang mantap dan memperbaiki bahasa dan penulisan mereka
Isnin, 6 Februari 2012
Titik tengah Semenanjung
Titik tengah Semenanjung
Oleh Rosli Abdul Jalil
2012/01/22
PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang.
Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung.
Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar.
Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini.
Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah.
Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik.
Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan.
Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis.
“Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini.
Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik.
Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh.
"Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya.
"Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya.
Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi.
Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran.
Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia.
Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur.
Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan.
Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong.
Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar.
"Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya.
Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu.
"Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri.
"Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka.
"Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya.
Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya.
Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu.
"Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik.
"Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya.
Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap.
Penduduk tempatan nanti limpahan
PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka.
Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin.
"Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu.
"Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya.
Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan.
Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat.
Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri.
"Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan.
"Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana.
"Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya.
Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma.
Jaga batasan bergurau senda elak guris perasaan
Jaga batasan bergurau senda elak guris perasaan
2012/02/06
RASULULLAH SAW w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (Riwayat Abu Daud)
Gurau senda, berlawak atau jenaka amat digemari manusia. Ia boleh membuat orang ketawa, tersenyum dan rasa gembira walaupun hanya untuk seketika.
Gurau senda dan jenaka boleh menyenangkan hati kerana sifat manusia itu sendiri yang suka kegembiraan dan lapang dada.
Membuat orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda. Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang digariskan oleh Islam seperti tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka terutama mempersenda sunnah Rasulullah SAW.
Gurauan itu juga bukan satu cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya, gurauan juga bukan mengumpat seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendahkan maruahnya.
Islam juga mengingatkan umatnya supaya tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan kerana dibimbangi akan melalaikan hati dan fikiran untuk mengingati Allah SWT.
Islam turut menekan yang isi jenaka itu perlu benar dan tidak direka-reka, bersesuaian dengan masa, tempat dan khalayak kerana tidak manis bergurau ketika seseorang berada dalam kesedihan atau mengikut majlis.
Sementara itu, jenaka yang boleh membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) perlu dijauhi kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati.
Bagi umat Islam boleh mencontohi sifat Rasulullah SAW apabila ketawa kerana baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya saja, bukan ketawa berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh. Ia membawa maksud bahawa selaku seorang muslim, kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan walaupun berjenaka dan bergurau senda.
Paling utama, umat Islam diharamkan bergurau senda dalam perkara lucah atau menjadikan perlakuan seks sebagai bahan berjenaka kerana ia akan menyebabkan dosa bagi orang yang berjenaka dan mendengarnya.
Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)
Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian
Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian
Oleh Amran Zakaria
2012/02/06
Golongan tewas kuat memberontak, patah semangat
ALLAH mencipta jiwa manusia dengan segenap tabiat dan perangainya dan mengilhamkan kepada manusia potensi untuk bertakwa serta potensi berbuat dosa. Sesiapa yang memilih ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia menyucikan jiwanya dan membersihkannya daripada akhlak yang rendah dan tercela.
Seorang yang sedar bahawa dirinya hamba pasti akan pasrah dan bersedia menerima apa saja ujian yang diberikan Tuhan. Menerima hakikat itu, jiwa kita menjadi lebih tenang berbanding dengan hamba yang ‘memberontak’ atas apa yang Allah takdirkan.
Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum datang kepadamu (ujian) seperti halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214).
Pepatah Melayu sering menyebut ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ sebagai panduan dan peringatan buat mereka yang dilanda tekanan perasaan. Maksudnya, usah diikutkan hati dan perasaan kerana kesannya amat buruk.
Peringatan ini ada hikmahnya ketika hamba Allah berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghimpit jiwa agar tidak mudah patah semangat dan berserah kepada situasi semasa. Mereka ini adalah golongan yang tewas dalam kehidupannya.
Sebenarnya tidak salah untuk kita berusaha menyelesaikan masalah yang menimpa, bahkan kita dituntut berbuat demikian. Namun, jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan juga, hendaklah kita berprasangka baik kepada Allah dan meredainya.
Allah berfirman yang bermaksud: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah , ayat 216).
Seorang ulama sufi terkenal, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi kata-katanya: “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”
Pemikir Islam terkemuka, Imam Ghazali menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhan apabila dia menukar kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya.
Keadaan ini berbeza dengan muqarrabin, yakni orang yang hampir dengan Allah yang mana mereka sedia menerima apa saja ujian yang Allah ke atas mereka. Penerimaan ini atas asas ketaatan dan menganggap ujian itu didatangkan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka.
Hikmah ialah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai paling besar dengan satu ujian. Rasulullah SAW memberi perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilangkan karatnya dan tinggallah yang baik saja.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah tanpa dia membawa dosa sedikit pun.” (Riwayat Imam Tirmizi)
Sering muqarrabin mengulas mengenai hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.”
Dalam soal berdepan dengan cabaran hidup, hendaklah kita membersihkan jiwa bertujuan mengelakkan kekotoran yang akan mencemarkannya. Dunia ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir.
Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Amradhul Qulub wa Syifaa’uha mengatakan: “Penyakit hati ialah jenis kerosakan yang menimpanya dan menjadi penyebab kepada kerosakan pemikiran dan kehendak. Kerosakan pemikiran ini terjadi kerana adanya kesamaran sehingga tidak berupaya seseorang itu untuk melihat kebenaran atau dapat melihat kebenaran tetapi berlainan dengan apa yang seharusnya ada, sedangkan kehendaknya (penyakit hati) itu membenci kebenaran dan menyukai kebatilan.”
Allah berfirman yang bermaksud: “Sungguh berbahagia orang yang menyucikan jiwanya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams, ayat 9).
Ketika berdepan dengan masalah keresahan jiwa barulah kita sedar betapa nikmatnya manusia yang memiliki jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan sentiasa bahagia dalam mengharungi pelbagai cabaran, termasuk yang tidak berjangka. Malah, jiwa yang tenang mampu tersenyum ketika menghadapi pelbagai ujian. Mereka tidak mudah berputus asa, mengeluh dan gelisah.
Firman Allah yang bermaksud: “Dan nikmat apapun yang ada pada kalian maka semuanya berasal daripada Allah. Kemudian apabila kalian tertimpa musibah, maka kepada-Nyah kalian memulangkan urusan.” (Surah An-Nahl, 53)
Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan dan hilang arah. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu. Jiwa yang tidak tenteram sebenarnya mempunyai sebab-musabab yang tersendiri. Antara sebab utamanya ialah kerana dosa silam yang pernah dilakukan dan menjelma kembali dalam kehidupan sekarang. Dosa itu meracuni hati dan perasaan yang kian menampakkan kegelisahan.
Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad
Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad
Oleh Ibrahim Abdullah
2012/02/06
Sambutan selagi bertujuan rai hari kebesaran Islam bukan bidaah
SESETENGAH pihak dalam kalangan umat Islam menyatakan amalan mengadakan majlis Maulidur Rasul SAW suatu bidaah. Bagaimanapun, ada dalil sunat yang membolehkan umat Islam merayakan hari kebesaran Islam ini.
Merayakan atau menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) termasuk dalam perkara yang membesar dan memuliakan Baginda. Firman Allah bermaksud: "Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya serta mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan." (Surah al-'Araf, ayat 157).
Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu adalah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya." (Surah al-Hajj, ayat 32).
Apa yang dimaksudkan dengan 'tanda-tanda Allah' pada umum ayat ini, ialah setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Jadi sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad SAW dan menyambut Maulidur Rasul itu adalah membesarkan tanda atau syiar agama Allah, termasuk dalam menjunjung perintah Allah.
Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, begitu juga Ismail dan Abdul Razak, bahawa diringankan azab ke atas Abu Lahab pada Isnin kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW.
Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menzahirkan kegembiraan dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah SAW diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kuffar, seteru kepada Nabi diringankan azabnya, apa lagi bagi orang yang Muslim. Seperti yang dikatakan oleh al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, dianjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda. Hari kelahiran Baginda adalah ‘Hari Kebesaran Islam' dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan.
Diriwayatkan daripada Qatadah an-Ansari: "Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: "Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku." (Hadis riwayat Muslim).
Membuat perkara kebaikan dan kebajikan seperti memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa Isnin dan berpuasa Hari Asyura sempena memuliakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti berhimpun dengan membaca al-Quran, berselawat, membaca sirah Nabi, memuji, berzanji, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain adalah perbuatan sunat yang dianjurkan dalam Islam, apa lagi mengadakan sambutan Maulidur Rasul.
Dalam sahih Bukhari dan Muslim dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu Baginda bertanya, mereka menjawab: "Ia hari yang Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Taala."
Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: "Kami terlebih utama dengan Musa."
Dalam pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah.
Menyambut Maulidur Rasul ialah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam semesta ini. Sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya Nabi Muhammad SAW.
Firman Allah bermaksud: "Katakanlah kepada kaum kamu, dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya." (Surah Yunus, ayat 58).
Firman Allah lagi yang bermaksud: "Tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan kerana memberi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiyaa' ayat 107).
Jelaslah memperingati dan memuliakan Maulidur Rasul dengan berselawat, membaca kisahnya, perjuangan suka dukanya menunjukkan kita menyintai Nabi Muhammad SAW dan sekali gus menyintai Allah. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah kepada kaummu (Muhammad), jika sekiranya kamu menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah menyintai kamu." (Surah Ali-Imran, ayat 31).
Langgan:
Catatan (Atom)