Label

Isnin, 6 Februari 2012

Titik tengah Semenanjung

Titik tengah Semenanjung Oleh Rosli Abdul Jalil 2012/01/22 PERNAHKAH anda terfikir di manakah kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia serta apakah kepentingannya kepada negara dan penduduk setempat? Sebelum ini, ada dua pendapat popular mengenai kedudukan sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu di daerah Lipis dan Kampung Kertau, Maran di Pahang. Kampung Belimbing yang terletak di Lipis dianggap titik tengah Semenanjung Malaysia sejak pemerintahan Inggeris lagi. Malah, jika berkunjung ke lokasi ini, anda boleh menemui batu penanda `0' kilometer yang menjadi rujukan jarak ke seluruh negeri di Semenanjung. Bagaimanapun, penentuan titik tengah pada era itu dikatakan tidak begitu tepat. Ini kerana ia sekadar menjadi titik rujukan pemerintah Inggeris dan bukannya titik sebenar. Pada masa sama, Kampung Kertau di Maran pula dikatakan sebagai titik tengah sehingga menimbulkan pertikaian di kalangan ahli akademik yang gagal mencapai kata putus mengenai kedudukan sebenar titik istimewa ini. Namun, sehingga 2009, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) melakukan kajian komprehensif untuk menentukan titik tengah sebenar Semenanjung Malaysia dengan menggunakan beberapa kaedah. Bekas Pegawai Daerah Temerloh, Datuk Sallehuddin Ishak berkata, JUPEM menggunakan tiga kaedah untuk menentukan lokasi sebenar titik tengah Semenanjung Malaysia iaitu berdasarkan rupa bentuk muka bumi tanah Semenanjung, pengiraan jisim dan kaedah matematik. Sallehuddin berkata, mengikut kaedah pengukuran rupa bentuk muka bumi, JUPEM melakukan pengiraan dengan menghubungkan titik-titik pada bahagian paling hujung Semenanjung menggunakan garisan di mana titik tengah Semenanjung Malaysia dikenal pasti berdasarkan pertemuan garisan berkenaan. Sallehuddin yang kini Timbalan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian Persekutuan (Kemajuan Pengurusan Dan Perundangan Tanah), Ibu Pejabat Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian berkata, mengikut kaedah itu, titik pertemuannya ialah pada kedudukan x bersamaan 469053.344 dan y (464283.582) iaitu di Hutan Simpan Ulu Cheka, Lipis. “Mengikut kaedah kedua pula, pengiraan jisim secara abstrak dengan mengandaikan kedudukannya pada x bersamaan 63626.711462 dan y (446971.55564) iaitu di Jerangsang, Benta, Lipis,” katanya kepada sisipan Rona baru-baru ini. Sallehuddin berkata, kaedah ketiga melalui pengiraan matematik iaitu menghubungkan titik paling jauh dengan titik paling dekat menggunakan 37,371 titik. Menurutnya, pada akhir pengiraan, titik tengah dikenal pasti pada kedudukan x bersamaan 469519.6934 dan y (386338.7621) iaitu di Kampung Paya Siput, Lanchang, Temerloh. "Berdasarkan tiga kaedah itu, JUPEM menyerahkannya kepada kerajaan negeri untuk pertimbangan selanjutnya. "Sehubungan itu, kerajaan negeri memutuskan cara terbaik menentukan titik tengah ialah berasaskan kepada keputusan yang boleh dicabar secara saintifik supaya ia dapat dibuktikan dan lebih praktikal," katanya. Beliau berkata, penentuan itu juga dibuat dengan mengambil kira kedua-dua lokasi terdahulu yang menggunakan kaedah rupa bentuk muka bumi dan pengiraan jisim terletak di kawasan hutan dan sukar dikunjungi. Malah, dari segi `common sense', kedudukan Lanchang, Temerloh memang terletak di antara Lipis dan Maran. Selain itu, mengambil kira kedudukan stesen Pusat Remote Sensing Negara (MACRES) dan PULARES yang secara strategiknya terletak di Temerloh, ia bagai sokongan kuat membuktikan lokasi ini terletak di tengah-tengah Semenanjung Malaysia. Dari segi jarak perjalanan, Temerloh terletak tengah-tengah iaitu antara Kuantan dan Kuala Lumpur atau antara pantai barat dan timur. Sehubungan itu, daerah Temerloh yang sebelum ini popular sebagai `bandar ikan patin' juga bakal dikenali sebagai bandar `titik tengah Semenanjung Malaysia' serta dapat membawa banyak manfaat kepada penduduk tempatan. Sementara itu, pengiktirafan Temerloh sebagai daerah titik tengah Semenanjung Malaysia bukan saja menamatkan perdebatan di kalangan ahli akademik, malah secara langsung memberi kelebihan kepada daerah ini dalam menarik pelancong. Bandar Temerloh yang sekian lama terkenal dengan jolokan `bandar ikan patin' sudah cukup membuatkan penggemar ikan sungai berkunjung ke bandar ini untuk menikmati keenakan masakan spesies ikan ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lanchang, Datuk Sharkar Shamsuddin, berkata titik tengah Semenanjung Malaysia yang dikenal pasti terletak di Kampung Paya Siput, Lanchang sudah tentu menjadi tarikan untuk pengunjung melawat Temerloh yang sebelum ini terkenal dengan produk pelancongan alam sekitar. "Tarikan terbaru ini boleh menjadi pelengkap kepada destinasi pelancongan sedia ada seperti Gunung Senyum; Pusat Konservasi Gajah Kuala Gandah; Santuari Rusa di Bukit Rengit dan Lembah Harimau," katanya. Sharkar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Sains, Teknologi dan Inovasi negeri berkata, kedudukan Kampung Paya Siput terletak di antara Sungai Kepong dan Kampung Bongsu. "Ia dikenal pasti sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia berdasarkan pengiraan matematik oleh JUPEM," katanya. Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Warisan negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif berkata, pengisytiharan Kampung Paya Siput, Lanchang sebagai lokasi titik tengah Semenanjung Malaysia mempunyai signifikan tersendiri. "Bagaimanapun, apa yang lebih penting ialah penduduk setempat perlu merebut peluang yang ada dengan bertindak secara proaktif membabitkan diri mempromosikan kawasan mereka. "Mereka tidak boleh mengharapkan kerajaan semata-mata untuk menyediakan prasarana sebaliknya memanfaatkan peluang seperti menjual cenderahati bermotifkan titik tengah kepada pelancong," katanya. Shafik berkata, kerajaan boleh membangunkan Temerloh tetapi akhirnya penduduk setempat perlu mempunyai kesedaran dan tanggungjawab memeliharanya. Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Temerloh (MPT), Datuk Tarif Abdul Rahman berkata, pihaknya merancang membangunkan beberapa kemudahan di kawasan istimewa itu. "Sudah tentu kita mahu kawasan itu mempunyai kemudahan untuk pelancong termasuk aktiviti penjualan cenderahati dan rekreasi bagi menjadikannya menarik. "Kita juga merancang mendirikan monumen atau mercu tanda yang boleh meninggalkan kenangan kepada pelancong," katanya. Tarif berkata, kedudukannya di kawasan Kampung Paya Siput cukup menarik kerana ia mempunyai penempatan kampung tradisional dan kemudahan asas yang lengkap. Penduduk tempatan nanti limpahan PENDUDUK Kampung Paya Siput, Lanchang, yakin pengiktirafan kawasan perkampungan itu sebagai titik tengah Semenanjung sudah tentu memberi makna yang mendalam kepada mereka. Walaupun ia tidak merubah wajah kampung itu dalam sekelip mata, mereka percaya kawasan itu akan lebih dikenali dan menjadi sebutan kerana kedudukannya yang begitu unik berbanding tempat lain di negara ini. Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Rantau Panjang, Zainal Abidin Mat Taha berkata, Kampung Paya Siput adalah antara tiga kampung yang terletak di bawah pentadbiran JKKK Kampung Rantau Panjang selain Kampung Bukit Wau dan kampung Orang Asli Bukit Licin. "Lebih menarik, titik tengah sebenarnya terletak betul-betul di bawah sebuah pondok di pusat pengajian agama, Madrasah Darul Ulum yang diusahakan Sabaruddin Othman sejak lima tahun lalu. "Sehubungan itu, kami berharap pihak Pejabat Daerah dan Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) akan membangunkan kawasan terbabit untuk menjadikannya sebagai tarikan pelancongan ke negeri ini," katanya. Zainal Abidin berpendapat, suatu mercu tanda perlu dibangunkan di kawasan itu bagi membolehkan orang ramai sama ada penduduk setempat atau pelancong luar tahu kedudukan sebenar titik tengah berkenaan. Selain itu, beliau berkata, beberapa kemudahan lain juga boleh disediakan di kawasan terbabit seperti jalan masuk, tempat jualan cenderahati dan ruang perniagaan yang boleh dimanfaatkan penduduk setempat. Bagi Sabaruddin, 43, beliau tidak keberatan membenarkan sebahagian tanahnya dibangunkan untuk kepentingan awam kerana percaya pemilihan kawasan itu ada hikmah tersendiri. "Saya tidak mahu mengambil kesempatan di atas perkembangan ini, sebaliknya menerima apa juga keputusan pihak berkuasa tempatan. "Saya difahamkan, titik tengah yang dimaksudkan itu terletak betul-betul di bawah satu daripada pondok yang digunakan sebagai asrama oleh penghuni madrasah ini. Apa yang saya tahu, pihak berkuasa bercadang mewartakannya untuk dibangunkan dengan prasarana. "Cuma, saya berharap beberapa pondok yang berada dalam lingkaran titik itu dapat dialihkan ke tempat lain yang lebih sesuai," katanya. Madrasah Darul Ulum kini mempunyai kira-kira 100 penghuni termasuk dari kalangan remaja, anak yatim dan pasangan warga tua yang ingin mendalami ilmu agama secara percuma.

Jaga batasan bergurau senda elak guris perasaan

Jaga batasan bergurau senda elak guris perasaan 2012/02/06 RASULULLAH SAW w bersabda, maksudnya: “Celakalah orang yang berbicara lalu mengarang cerita dusta agar orang lain tertawa. Celakalah!” (Riwayat Abu Daud) Gurau senda, berlawak atau jenaka amat digemari manusia. Ia boleh membuat orang ketawa, tersenyum dan rasa gembira walaupun hanya untuk seketika. Gurau senda dan jenaka boleh menyenangkan hati kerana sifat manusia itu sendiri yang suka kegembiraan dan lapang dada. Membuat orang lain senang hati adalah termasuk dalam amal kebajikan dan Rasulullah SAW juga selalu berjenaka dengan ahli keluarga dan sahabat baginda. Namun begitu bergurau mempunyai adab-adab tertentu yang digariskan oleh Islam seperti tidak menjadikan aspek agama sebagai bahan jenaka terutama mempersenda sunnah Rasulullah SAW. Gurauan itu juga bukan satu cacian atau cemuhan seperti memperlekehkan orang lain dengan menyebut kekurangannya, gurauan juga bukan mengumpat seperti memburukkan seseorang individu dengan niat hendak merendahkan maruahnya. Islam juga mengingatkan umatnya supaya tidak menjadikan jenaka dan gurauan itu sebagai kebiasaan kerana dibimbangi akan melalaikan hati dan fikiran untuk mengingati Allah SWT. Islam turut menekan yang isi jenaka itu perlu benar dan tidak direka-reka, bersesuaian dengan masa, tempat dan khalayak kerana tidak manis bergurau ketika seseorang berada dalam kesedihan atau mengikut majlis. Sementara itu, jenaka yang boleh membuatkan orang lain ketawa secara berlebihan (ketawa terbahak-bahak) perlu dijauhi kerana banyak ketawa akan memadamkan cahaya hati. Bagi umat Islam boleh mencontohi sifat Rasulullah SAW apabila ketawa kerana baginda hanya menampakkan barisan gigi hadapannya saja, bukan ketawa berdekah-dekah, mengilai atau terkekeh-kekeh. Ia membawa maksud bahawa selaku seorang muslim, kita hendaklah sentiasa menjaga batas kesopanan walaupun berjenaka dan bergurau senda. Paling utama, umat Islam diharamkan bergurau senda dalam perkara lucah atau menjadikan perlakuan seks sebagai bahan berjenaka kerana ia akan menyebabkan dosa bagi orang yang berjenaka dan mendengarnya. Sumber: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian

Jiwa tenang masih mampu tersenyum berdepan ujian Oleh Amran Zakaria 2012/02/06 Golongan tewas kuat memberontak, patah semangat ALLAH mencipta jiwa manusia dengan segenap tabiat dan perangainya dan mengilhamkan kepada manusia potensi untuk bertakwa serta potensi berbuat dosa. Sesiapa yang memilih ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya, maka dia menyucikan jiwanya dan membersihkannya daripada akhlak yang rendah dan tercela. Seorang yang sedar bahawa dirinya hamba pasti akan pasrah dan bersedia menerima apa saja ujian yang diberikan Tuhan. Menerima hakikat itu, jiwa kita menjadi lebih tenang berbanding dengan hamba yang ‘memberontak’ atas apa yang Allah takdirkan. Allah berfirman bermaksud: “Apakah kamu mengira bahawa kamu akan masuk syurga, pada hal belum datang kepadamu (ujian) seperti halnya orang terdahulu sebelum kamu? Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam ujian) sehingga berkatalah Rasul dan orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (Surah al-Baqarah, ayat 214). Pepatah Melayu sering menyebut ‘ikut hati mati, ikut rasa binasa’ sebagai panduan dan peringatan buat mereka yang dilanda tekanan perasaan. Maksudnya, usah diikutkan hati dan perasaan kerana kesannya amat buruk. Peringatan ini ada hikmahnya ketika hamba Allah berdepan dengan pelbagai cabaran yang menghimpit jiwa agar tidak mudah patah semangat dan berserah kepada situasi semasa. Mereka ini adalah golongan yang tewas dalam kehidupannya. Sebenarnya tidak salah untuk kita berusaha menyelesaikan masalah yang menimpa, bahkan kita dituntut berbuat demikian. Namun, jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan juga, hendaklah kita berprasangka baik kepada Allah dan meredainya. Allah berfirman yang bermaksud: “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya.” (Surah al-Baqarah , ayat 216). Seorang ulama sufi terkenal, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi kata-katanya: “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.” Pemikir Islam terkemuka, Imam Ghazali menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah ‘memberontak’ kepada Tuhan apabila dia menukar kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Keadaan ini berbeza dengan muqarrabin, yakni orang yang hampir dengan Allah yang mana mereka sedia menerima apa saja ujian yang Allah ke atas mereka. Penerimaan ini atas asas ketaatan dan menganggap ujian itu didatangkan untuk meningkatkan darjat keimanan mereka. Hikmah ialah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai paling besar dengan satu ujian. Rasulullah SAW memberi perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilangkan karatnya dan tinggallah yang baik saja. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA katanya: “Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Orang mukmin sama ada lelaki ataupun perempuan akan sentiasa diuji oleh Allah sama ada dirinya, anaknya ataupun hartanya sehinggalah dia menghadap Allah tanpa dia membawa dosa sedikit pun.” (Riwayat Imam Tirmizi) Sering muqarrabin mengulas mengenai hikmah ujian dengan berkata: "Allah melapangkan bagimu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagimu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau daripada kedua-duanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah.” Dalam soal berdepan dengan cabaran hidup, hendaklah kita membersihkan jiwa bertujuan mengelakkan kekotoran yang akan mencemarkannya. Dunia ialah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir. Ibnu Taimiyah dalam kitabnya Amradhul Qulub wa Syifaa’uha mengatakan: “Penyakit hati ialah jenis kerosakan yang menimpanya dan menjadi penyebab kepada kerosakan pemikiran dan kehendak. Kerosakan pemikiran ini terjadi kerana adanya kesamaran sehingga tidak berupaya seseorang itu untuk melihat kebenaran atau dapat melihat kebenaran tetapi berlainan dengan apa yang seharusnya ada, sedangkan kehendaknya (penyakit hati) itu membenci kebenaran dan menyukai kebatilan.” Allah berfirman yang bermaksud: “Sungguh berbahagia orang yang menyucikan jiwanya dan sungguh rugi orang yang mengotorinya.” (Surah Asy Syams, ayat 9). Ketika berdepan dengan masalah keresahan jiwa barulah kita sedar betapa nikmatnya manusia yang memiliki jiwa yang tenang. Jiwa yang tenang akan sentiasa bahagia dalam mengharungi pelbagai cabaran, termasuk yang tidak berjangka. Malah, jiwa yang tenang mampu tersenyum ketika menghadapi pelbagai ujian. Mereka tidak mudah berputus asa, mengeluh dan gelisah. Firman Allah yang bermaksud: “Dan nikmat apapun yang ada pada kalian maka semuanya berasal daripada Allah. Kemudian apabila kalian tertimpa musibah, maka kepada-Nyah kalian memulangkan urusan.” (Surah An-Nahl, 53) Kegelisahan yang melanda diri seseorang menyebabkan mereka mengalami kebingungan dan hilang arah. Ketika itu diri terasa tiada tempat lagi untuk mengadu. Jiwa yang tidak tenteram sebenarnya mempunyai sebab-musabab yang tersendiri. Antara sebab utamanya ialah kerana dosa silam yang pernah dilakukan dan menjelma kembali dalam kehidupan sekarang. Dosa itu meracuni hati dan perasaan yang kian menampakkan kegelisahan.

Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad

Maulidur Rasul tanda cinta Nabi Muhammad Oleh Ibrahim Abdullah 2012/02/06 Sambutan selagi bertujuan rai hari kebesaran Islam bukan bidaah SESETENGAH pihak dalam kalangan umat Islam menyatakan amalan mengadakan majlis Maulidur Rasul SAW suatu bidaah. Bagaimanapun, ada dalil sunat yang membolehkan umat Islam merayakan hari kebesaran Islam ini. Merayakan atau menyambut kelahiran Nabi Muhammad SAW (Maulidur Rasul) termasuk dalam perkara yang membesar dan memuliakan Baginda. Firman Allah bermaksud: "Maka mereka yang beriman dengannya (Muhammad), membesarkannya dan membantunya serta mengikuti cahaya (al-Quran) yang diturunkan bersamanya. Mereka itulah yang mendapat kejayaan." (Surah al-'Araf, ayat 157). Firman Allah SWT lagi yang bermaksud: "Sesiapa yang membesarkan tanda-tanda Allah, maka membesarkan itu adalah setengah daripada menjunjung perintah-Nya dan menjauhi larangan-Nya." (Surah al-Hajj, ayat 32). Apa yang dimaksudkan dengan 'tanda-tanda Allah' pada umum ayat ini, ialah setiap perkara yang dijadikan sebagai tanda atau alamat bagi mentaati Allah. Jadi sebesar-besar tanda agama ialah Nabi Muhammad SAW dan menyambut Maulidur Rasul itu adalah membesarkan tanda atau syiar agama Allah, termasuk dalam menjunjung perintah Allah. Imam Bukhari meriwayatkan dalam sahihnya, begitu juga Ismail dan Abdul Razak, bahawa diringankan azab ke atas Abu Lahab pada Isnin kerana memerdekakan Suwaibah, iaitu hambanya yang menceritakan khabar gembira mengenai kelahiran Nabi Muhammad SAW. Hadis ini menunjukkan sesiapa yang menzahirkan kegembiraan dengan membesarkan hari kelahiran Rasulullah SAW diberi pahala yang besar kerana Abu Lahab yang kuffar, seteru kepada Nabi diringankan azabnya, apa lagi bagi orang yang Muslim. Seperti yang dikatakan oleh al-Hafiz Nasiruddin Ibnu Syamsuddin ad-Dimsyaqi dan Imam al-Qurra al-Hafiz Syamsuddin Muhammad al-Jazri, dianjurkan untuk memulia dan membesarkan Nabi Muhammad SAW dengan mengambil sempena hari kelahiran Baginda. Hari kelahiran Baginda adalah ‘Hari Kebesaran Islam' dan hari yang mempunyai kelebihan dan keistimewaan. Diriwayatkan daripada Qatadah an-Ansari: "Bahawasanya Nabi ditanya mengenai berpuasa pada Isnin, berkata Nabi Muhammad SAW: "Itulah hari yang dilahirkan aku padanya dan diturunkan kenabian ke atasku." (Hadis riwayat Muslim). Membuat perkara kebaikan dan kebajikan seperti memerdekakan Suwaibah, hadis berpuasa Isnin dan berpuasa Hari Asyura sempena memuliakan hari kelahiran Nabi Muhammad SAW seperti berhimpun dengan membaca al-Quran, berselawat, membaca sirah Nabi, memuji, berzanji, bersedekah, menjamu makanan, berbuat baik kepada fakir miskin dan lain-lain adalah perbuatan sunat yang dianjurkan dalam Islam, apa lagi mengadakan sambutan Maulidur Rasul. Dalam sahih Bukhari dan Muslim dinyatakan, bahawa Nabi Muhammad SAW datang ke Madinah dan mendapati kaum Yahudi berpuasa pada Hari Asyura, lalu Baginda bertanya, mereka menjawab: "Ia hari yang Allah menenggelamkan Firaun dan menyelamatkan Musa. Kami berpuasa pada hari ini kerana mensyukuri Allah Taala." Lalu Nabi Muhammad SAW berkata: "Kami terlebih utama dengan Musa." Dalam pengertian daripada hadis ini, kita disarankan mensyukuri atas nikmat pemberian Allah pada hari tertentu yang mempunyai kelebihan atau hari yang dilepaskan daripada musibah. Menyambut Maulidur Rasul ialah menzahirkan kegembiraan dan mensyukuri nikmat dan rahmat Allah ke atas alam semesta ini. Sebesar-besar nikmat yang sempurna dan rahmat ialah lahirnya Nabi Muhammad SAW. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah kepada kaum kamu, dengan kurniaan Allah dan rahmat-Nya, maka dengan demikian itu (kurniaan dan rahmat), hendaklah kamu bergembira dan mensyukurinya." (Surah Yunus, ayat 58). Firman Allah lagi yang bermaksud: "Tidaklah Kami mengutuskan engkau (Muhammad) melainkan kerana memberi rahmat bagi sekalian alam." (Surah al-Anbiyaa' ayat 107). Jelaslah memperingati dan memuliakan Maulidur Rasul dengan berselawat, membaca kisahnya, perjuangan suka dukanya menunjukkan kita menyintai Nabi Muhammad SAW dan sekali gus menyintai Allah. Firman Allah bermaksud: "Katakanlah kepada kaummu (Muhammad), jika sekiranya kamu menyintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah menyintai kamu." (Surah Ali-Imran, ayat 31).

Khamis, 19 Januari 2012

'Harapkan pegar, pegar makan padi

Mewah Bahasa: 'Harapkan pegar, pegar makan padi
Oleh Prof Madya Dr Nor Hisham Osman

2012/01/11
DALAM sebuah bilik darjah pada hari pertama persekolahan ….

Zali: Huh!! Tak boleh harap …. Ramli: Apanya?! Zali: Ni ha, berita ni ….

Ramli: Berita apa? Aku tak baca lagi ….

Zali: Tu la lain kali, bacalah berita-berita tempatan ni, jangan asyik baca berita liga bola sepak luar negeri je.

Ramli: Hey! Macam mana aku nak baca?! Dari tadi surat khabar tu kat tangan kau aje. Dah habis teh tarik segelas, kau tak habis baca lagi. Bagilah aku pulak ….
Zali: Hehehhee ... maaf le, nah! Kau tengok berita ni, kanak-kanak dirogol bapa saudara sendiri.

Ramli: Bapa saudara?

Zali: Ha’ ah!! Emak ngan bapa budak tu kerja luar negara, tinggal budak tu dengan adik bapanya. Masa bini dia pergi kerja, dikerjakannya pulak budak tu, anak abang dia sendiri tu!!

Ramli: Huh!! Betul dahsyat punya perangai, memang tak boleh diharap. Bak kata orang tua-tua, harapkan pagar, pagar makan padi!!

Zali: Tak betul pepatah tu ….

Ramli: Tak betul?! Apa tak betulnya pulak? Orang tua-tua kita dah cakap macam tu dulu.

Zali: Pepatah tu betul dah, tapi perkataan pagar tu yang tak betul!!

Ramli: Eh!! Loyar buruk pulak, kan pepatah ni ada dalam buku teks sekolah, kita dah belajar sejak sekolah rendah lagi dan memang selalu orang pakai dalam surat khabar, dalam radio, dalam tv.

Zali: Memang orang guna, tapi sebenarnya salah!!

Ramli: Apanya yang salah?

Zali: Cuba kau fikir secara logik, boleh ke pagar tu makan?? Dan satu lagi, mana ada sawah padi yang berpagar ….

Ramli: Eh!! Betul juga ek! Tapi …. Mungkin ini hanya pepatah, bukannya betul-betul.

Zali: Memanglah pepatah, tetapi orang dulu-dulu buat pepatah ni berdasarkan pemerhatian mereka pada perlakuan alam sekitar. Kalau pagar, itu bukan benda hidup, mana boleh pagar makan. Yang makan adalah ayam pegar, ayam pegar ni makan padi ….

Ramli: Ayam pegar? Ayam apa tu? Tak pernah dengar pun!

Zali: Sejenis burung, tapi orang kampung panggil ayam sebab saiznya sebesar ayam dan melata macam ayam dan boleh terbang macam burung.

Ramli: Ooo ... tapi tak pernah jumpa pun?!

Zali: Memang le kau tak pernah jumpa, ayam ni bukan ayam belaan tapi jenis liar, duduk dalam hutan. Sekarang ni dah nak hampir pupus ….

Ramli: Tapi macam mana pula dikatakan boleh menjaga padi??

Zali: Haa … dulu-dulu ayam ni banyak, dekat pinggir hutan tepi sawah, makan serangga perosak padi dan makan siput gondang. Itulah sebabnya dikatakan ayam pegar ni boleh menjaga padi.

Ramli: Tapi kenapa kemudian dikatakan tidak boleh diharap pulak??

Zali: Sebabnya ... sebab, selain dia makan serangga perosak seperti belalang, siput gondang dan juga ketam, ayam pegar ni juga makan padi!!

Ramli: Ooo …. Gitu ke?!

Zali: Itulah yang timbulnya pepatah harapkan pegar, pegar makan padi!!

Ramli: A’aa yek! Nak harapkan pegar memakan musuh padi, tapi pada masa yang sama dia makan padi!

Zali: Hah! Pandai pun, sekarang kau dah faham kenapa aku kata yang sebenarnya pegar, bukan pagar.

Ramli: Tengok orang la! Hehhehee ….

Glosari
•Ayam pegar - sejenis burung yang menyerupai ayam dan terdapat di dalam hutan (crested fireback)
•sumber - cakklepi.blogspot.com - Blog Kisah Seorang Budak U

Nota Kaki
Kolum Mewah Bahasa memperlihatkan adanya beberapa cara untuk menyampaikan sesuatu konsep yang sama dengan perkataan berbeza disebabkan perbezaan slanga, dialek, taraf sosial dan generasi. Dialog menggunakan dialek dan juga bahasa pertuturan yang mungkin tidak sama dengan tatabahasa baku. Prof Madya Dr Nor Hisham Osman adalah Pensyarah Jabatan Linguistik, Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya.

Empat keadaan menyebabkan berlaku murtad

Empat keadaan menyebabkan berlaku murtad
Oleh Ibrahim Abdullah

2012/01/19
MURTAD atau juga disebut sebagai kekafiran kerana beberapa sebab. Boleh jadi kerana mengingkari sesuatu yang sudah diketahui secara pasti sebagai bahagian daripada hukum agama atau dengan melakukan perbuatan kekafiran, ucapan kekafiran atau kerana tidak peduli dan ingkar dengan agama Allah.

Ada orang menjadi batal imannya kerana keyakinan bahawa Allah mempunyai anak, isteri atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam mentadbir dan mengurus alam semesta ini, meyakini ada makhluk yang memiliki nama, sifat atau perbuatan seperti Allah. Ini juga termasuk meyakini ada sesuatu makhluk yang berhak disembah atau meyakini bahawa Allah memiliki sekutu dalam rububiyyah. Dengan keyakinan begini, seseorang itu terjerumus dalam kancah kekafiran besar yang mengeluarkan dirinya dari Islam atau juga disebut murtad. Seseorang itu juga boleh jadi murtad kerana perbuatan bersujud kepada berhala, mengamalkan ilmu sihir atau melakukan berbagai bentuk kesyirikan seperti berdoa kepada selain Allah, menyembelih haiwan untuk selain Allah, bernazar untuk selain Allah, atau bertawaf di selain Kaabah dalam mendekatkan diri kepada Allah. Jadi orang boleh menjadi murtad kerana perbuatan atau menerusi ucapan. Seseorang juga boleh jadi murtad gara-gara ucapan mencaci Allah, mencaci Rasul-Nya, mencaci Islam, atau mengolok-olokkan Allah, kitab-Nya atau agama-Nya.

Allah berfirman mengenai kelompok orang dalam perang Tabuk yang mengejek Nabi dan sahabat yang bermaksud:
"Katakanlah: Apakah dengan Allah, ayat-Nya dan Rasul-Nya kamu selalu berolok-olok? Tidak usah kamu meminta maaf kerana kamu kafir sesudah beriman, jika Kami memaafkan segolongan kamu (kerana mereka bertaubat), nescaya Kami akan mengazab golongan (yang lain) disebabkan mereka adalah orang yang selalu berbuat dosa." (Surah at-Taubah, ayat 65-66).

Dalam ayat di atas Allah menetapkan bahawa mereka kafir setelah dulunya beriman. Ini menunjukkan bahawa kekafiran itu kerana perbuatan dan keyakinan seperti dalam ayat di atas. Orang berkenaan kafir gara-gara ucapan mereka.
Manusia juga boleh murtad kerana berpaling terhadap agama Allah dan meninggalkan atau menolak agama Allah, seperti tidak mahu mempelajari agama dan tidak mahu menyembah Allah. Orang ini murtad disebabkan sikap berpaling tadahnya.

Walhasil murtad itu boleh jadi kerana gara-gara pengingkaran, perbuatan, ucapan atau berpaling dan tidak peduli.

Orang yang dipaksakan untuk mengucapkan ucapan kekafiran atau perbuatan kekafiran itu dimaafkan jika paksaannya yang menyebabkan tidak ada pilihan lain.

Kekafiran itu terbahagi dalam empat keadaan iaitu;


•Melakukan perbuatan kekafiran secara serius.

•Melakukan perbuatan kekafiran secara main-main.

•Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan ketakutan.

•Melakukan perbuatan kekafiran dalam keadaan dipaksa, namun hatinya berasa mantap dengan kekafiran.

Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan

Ukhuwah dibajai kasih sayang serlah keikhlasan
Oleh Nik Salida Shuhaila
salidasuhaila99@yahoo.com
2012/01/19
Umat hidup saling membantu dapat membangunkan Islam di persada dunia

UMAT Islam selalu dirujuk sebagai saudara seagama atau umat bersaudara kerana silaturahim yang terikat kemas oleh kepercayaan yang satu serta cara hidup sama dipandu oleh al-Quran dan hadis. Walaupun ada kala kita tergelincir daripada jalan-Nya, ia bukan bermakna akan putus saudara atau hilang kasih dan sayang antara kita tetapi itulah hikmah bersaudara, tujuannya supaya saling menegur dan memperingatkan. Dalam sesebuah rumah tangga, yang sering memberi teguran tentulah seorang yang paling prihatin dalam kalangan ahlinya, sama ada ia seorang bapa, ibu atau anak. Tidak kiralah siapa pun yang ikhlas membetulkan kesalahan, ia tentulah bertujuan menjadikan ahlinya lebih baik, bukan lebih buruk.

Dalam konteks yang lebih besar, umat Islam bersaudara walau tanpa pertalian darah dan kaitan kerabat. Persaudaraan atau sering disebut ukhuwah, datangnya daripada kesedaran bahawa setiap individu tidak akan mampu bersendirian kerana saling memerlukan adalah asas kekuatan bagi setiap umat Islam. Meskipun begitu, ukhuwah hanya menjadi ikhlas sekiranya kita ikhlas membajai hati dengan rasa kasih dan sayang kepada saudara seagama. Perasaan tersebutlah yang memungkinkan kita mempercayai antara satu sama lain.

Hasil daripada sifat kepercayaan terhadap saudara pula akan membawa kepada pembelaan terhadap setiap perilaku saudara seagama terutama yang baik, dan cuba membantu dalam konteks kekeluargaan sekiranya perilaku itu tidak baik, tanpa perlu menghebahkannya kepada masyarakat yang tidak menganggap mereka sebagai saudara. Ini kerana ukhuwah akan mengatasi rasa benci, menjauhi hasad dengki dan caci maki sesama insan, sebaliknya menyuburkan kebaikan dan mendekatkan manusia kepada cara hidup yang bertoleransi.

Ukhuwah amat penting dalam agama. Itulah asas yang menjadikan umat Islam bersatu dan menjernihkan yang keruh, bukan membuka jalan keaiban terhadap kekurangan dan kelalaian orang lain. Anggaplah saja sebarang kesilapan manusia sebagai lumrah dalam meniti hidup sebagai manusia, bukan menambahkan lagi rasa benci hingga sebahagian besar umat Islam hari ini saling bermusuhan, bukan saling bersaudara.
Bukanlah bermakna masalah dalam setiap perhubungan insan adalah petanda kehancuran Islam, tetapi darjat persaudaraan amat penting untuk mengharmonikan setiap manusia yang menjunjung al-Quran.

Rasulullah SAW dan sahabat contohnya, telah menyemai rasa kasih dan sayang sesama mereka hingga sanggup memperjudikan nyawa untuk mempertahankan nyawa saudara yang lain. Rasulullah SAW juga memulakan pembinaan Madinah dengan persaudaraan antara kaum Muhajirin dan Ansar, hingga mereka bersatu dan mengumpul kekuatan yang akhirnya menjadikan Islam teguh di persada dunia.

Melalui persaudaraan, umat Islam akan saling bekerjasama dan menolak kepentingan diri demi membina kemajuan agama dan umatnya, terutama supaya keamanan dapat dipertahankan yang sekali gus memungkinkan tanggungjawab terhadap Allah SWT dapat dilaksanakan dengan sempurna.

Allah SWT merakamkan kisah itu dalam Surah Al-Hasyr, ayat ke-9 yang bermaksud: “Dan orang Ansar yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum kedatangan mereka (orang Muhajirin) mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berkehendakkan kepada apa yang telah diberikan kepada orang yang berhijrah itu, dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan sangat-sangat berhajat. Dan sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhil maka merekalah orang-orang yang berjaya.”

Oleh kerana itulah Rasulullah SAW yang hanya seorang manusia yang terbatas sifatnya dilantik Allah SWT untuk membawa banyak peranan dalam kehidupan.
Hikmahnya ialah supaya umat Islam sehingga ke penghujung zaman pun boleh mengambil iktibar daripada setiap tindak tanduk Rasulullah, sama ada sebagai seorang pemimpin keluarga, masyarakat, sahabat, guru, usahawan, petani, panglima perang, hakim, pengembara, peneroka, malah sebagai seorang umat yang paling taat kepada suruhan Allah SWT.

Tetapi sekiranya hakikat ini tidak dipeduli, alangkah ruginya kita bernabikan baginda Rasulullah SAW, yang susur galur hidupnya menjelaskan secara terperinci kehidupan sebagai seorang Muslim yang sebenar. Bukan itu saja, keutamaan dijanjikan oleh Allah SWT kepada setiap orang mempertahankan ukhuwah akan hilang begitu saja, sedangkan Allah SWT menjanjikan kemanisan iman dan pengampunan dosa buat mereka yang bersaudara dan bersatu kerana akidah yang satu. Allah SWT juga menjanjikan naungan arasy

Godam: 'Apakah kita silap memberi isyarat'?

Godam: 'Apakah kita silap memberi isyarat'?
Oleh Salbiah Ani
dahiya@bharian.com.my
2012/01/19
SALAH laku dua pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang mendapat liputan meluas media massa negara ini menimbulkan tanda tanya apakah senario semasa negara dalam percaturan politik mahupun sistem pendidikan memberi isyarat yang salah kepada rakyat?

Apakah sikap terlalu berlembut pemimpin tertinggi negara ‘dibaca’ secara tersurat semata-mata lalu membuat andaian sendiri seperti kata-kata dalam filem Labu Labi arahan Seniman Negara, Allahyarham P Ramlee, “Buatlah apa sajalah Labu”. Begitu juga tindak-tanduk pemimpin politik daripada parti pembangkang yang cenderung memperlekehkan kewibawaan kepimpinan negara dan bersikap seperti pak belang, sentiasa menunggu masa untuk menerkam mangsa, tak kiralah kecil atau besar! Penulis yakin inilah isyarat yang diterima kedua-dua pelajar ini, lalu atas nama kebebasan bersuara, seorang menurunkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan seorang lagi membuat ugutan bom helikopter PM.

Akibatnya seorang dinafikan peluang belajar apabila pengajiannya digantung selama setahun setengah, manakala seorang lagi lebih beruntung kerana masih diberi peluang menduduki peperiksaan, sebelum siasatan ke atasnya dimulakan.

Apakah ada kemungkinan kedua-dua pelajar ini menjadikan kes Wee Meng Chee atau yang lebih dikenali dengan nama Namewee berikutan kontroversinya dalam klip video Negarakuku yang menghina lagu kebangsaan negara ini?

Namewee dalam kes Negarakuku diberi muka apabila diberi peluang bertemu dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, meskipun hanya berpakaian rap dan diberi peluang kedua selepas memalukan negara ke seluruh dunia melalui video itu yang disiarkan dalam You Tube.
Kontroversinya membuka peluang kepada Namewee mendapat dana bagi membiayai penerbitan filem Nasi Lemak 2.0 arahannya yang mengutip RM7 juta ketika ditayangkan di pawagam, juga menimbulkan kontroversi dengan dakwaan sesetengah pihak bahawa ia menghina bangsa Melayu.

Seorang teman penulis mempersoalkan, jika Namewee diberi peluang kedua dengan salah laku yang lebih dahsyat kerana mengaibkan negara ke seantero dunia melalui You Tube, mengapa kedua-dua pelajar IPTA yang berada dalam ‘mangkuk’ yang sama tidak dimaafkan?

“Saya tidak menafikan maruah Perdana Menteri tercalar dalam kes penurunan gambarnya sehingga pelajar terbabit digantung pengajiannya. Tapi pelik juga saya mengapa pelajar kedua diberi peluang menduduki peperiksaan?

“Bertambah pelik lagi mengapa Namewee diberi peluang kedua meskipun kesalahannya dapat dibaca di seluruh dunia? Apakah hukuman yang berbeza ini memperlihatkan adanya pilih kasih atau pilih kes? Tidakkah ini menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelajar?”

Sebenarnya penulis simpati dengan nasib pelajar yang digantung pengajiannya bukan kerana menyokong tindakannya itu, tetapi atas dasar negara kehilangan seorang bakal guru yang mengajar bakal mengajar bahasa Inggeris, bahasa yang diagung-agungkan majoriti rakyat negara ini, apalagi pejuang dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI)!

Penulis bimbang kelompok seperti ini akhirnya akan berkesudahan sebagai rakyat yang tidak berbudi pekerti dan berbudaya kerana menerima isyarat yang salah, sekalipun jika ia mengambil hukuman itu sebagai pendorong untuk dirinya lebih berjaya pada masa depan.

Cukup-cukuplah negara ini menyaksikan perbuatan tidak berbudi pekerti dan berbudaya rakyat Malaysia sejak mutakhir ini, termasuk demonstrasi murahan, kerap atas isu mengarut hanya kerana taksub atas tokoh, sehingga ada yang tersasul mengangkat ‘penjenayah’ sebagai wira!

Apakah kita mahu senario sedemikian yang menjadi ikutan dalam kalangan generasi muda hari ini dan rakyat Malaysia amnya atau memilih jalan keluar lebih menguntungkan negara melalui dasar yang secara langsung dapat diterjemahkan semua sebagai memberi amaran ‘jangan bermain dengan api’?

Ertinya semua perbuatan akan dinilai dan dikenakan tindakan berdasarkan jurus pandang majoriti dan mesti berlandaskan segala-galanya yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai suatu yang perlu dihormati dan dipatuhi tanpa mengira bangsa mahupun fahaman politik kerana ia yang mengikat perilaku setiap warganegara.

Penulis yakin segala macam turutan peristiwa yang berlaku di negara ini adalah ekoran daripada isyarat yang silap diberikan sehingga kes tertentu berada di luar kawalan, lalu keputusan dibuat keluar daripada norma kebiasaan kerana terlalu bermain tarik tali.

Kejujuran penggerak PPSMI dipersoal

Kejujuran penggerak PPSMI dipersoal
Oleh Nazmi Yaakub
nazmi@bharian.com.my
2012/01/19
Agenda peribadi atau kepentingan pendidikan jadi pendorong

SEBARANG perdebatan mengenai usaha mengembalikan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) mesti bertitik tolak daripada landasan sebagai bahasa ilmu dan bukannya soal titik bengit lain. Ini kerana perdebatan PPSMI perlu berpusat pada landasan apakah bahasa Melayu boleh dianggap sebagai bahasa ilmu dan sejauh mana kebenaran bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu. Penegasan itu dilontarkan pada Dialog Orang Muda (DOM) - PPSMI: Kita Tewas? di Rumah Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Setiausaha Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Dr Mohammad Alinor Abdul Kadir, berkata bahasa Inggeris hanya digunakan sebagai bahasa ilmu sepenuhnya di tanah besar Inggeris apabila kerajaannya yang berpusat di London melaksanakan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah dan universiti sepenuhnya pada 1830.

“Prof Dr Shaharir Mohamad Zain dalam kajian terhadap pungutan istilah bahasa Inggeris menunjukkan mereka meminjam 70 peratus daripada bahasa Greek, Latin dan Arab.

“Dalam tempoh 182 tahun itu, bangsa Inggeris hanya mendapat 30 peratus istilah dalam bahasanya sebagai istilah sains,” katanya pada forum yang dipengerusikan Tutor Akademi Pengajian Melayu (APM), Universiti Malaya (UM), Arif Atan.
Justeru bagi Dr Mohammad Alinor adalah tidak adil untuk menolak kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu yang dilaksanakan sepenuhnya dalam sistem pendidikan Malaysia pada 1983 dan ditamatkan pada 2003, sedangkan bangsa Inggeris mengambil jangka waktu hampir dua abad.

“Malah, kebudayaan Inggeris sendiri kini tersepit apabila Wales dan Scotland menuntut perluasan kuasa politik mereka termasuk bahasanya, manakala dalam konteks ekonomi di Eropah pula, ia dikuasai Jerman dan Perancis.

“Inggeris bertungkus-lumus untuk mengekalkan bahasa Inggeris sebagai bahasa ilmu itu pun dibantu oleh Amerika Syarikat yang memiliki 400 juta rakyat,” katanya pada dialog anjuran Biro Penulis Muda PENA dengan kerjasama Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

Perkara yang lebih kurang sama turut menimpa Amerika Syarikat apabila ia ditekan oleh bahasa dari Amerika Selatan sehingga konsep baru timbul, iaitu Etnomatematik yang membabitkan matematik dan budaya etnik.

“Ini bermakna sekiranya ia lebih sesuai diajar dalam bahasa Sepanyol, maka kita perlu melantik guru yang mengajarkannya dalam bahasa itu.

“Percaturan ini timbul semata-mata untuk memberi ilmu kepada pelajar dan soalnya apakah percaturan kita dalam isu pengajaran dan pembelajaran dalam apa juga bahasa dengan tujuan yang sama,” katanya yang juga penggerak Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Mengenai pendapat semua jurnal sains dan matematik banyak didapati dalam bahasa Inggeris, beliau menolaknya dengan sinis bahawa ia disebabkan jurnal yang dibeli adalah dalam bahasa Inggeris.

“Saya pernah dilantik sebagai penyelidik pelawat di Trieste, Itali, selama tiga minggu dan mendapati universiti itu mempunyai bahan dalam pelbagai bahasa termasuk laporan teknik dari Jabatan Matematik dan Fizik di Universiti Vietnam dalam bahasa Vietnam,” katanya.

Setiausaha Pusat Pengembangan Kebudayaan Lim Lian Geok (LLG), Ng Yap Hwa, berkata pihaknya berpendapat semua bangsa berhak membangunkan bahasa ibunda sendiri tanpa mengira status bahasanya.

“Pendirian kami ialah pembelajaran bahasa Inggeris mesti dalam subjek bahasa itu sendiri, bukan subjek yang lain dan pelaksanaannya mesti ditinjau daripada segi pendidikan dan bukannya politik semata-mata.

“Pihak kami juga meneliti hujah yang diberikan oleh kumpulan penyokong PPSMI dan mendapati hujah mereka tidak meyakinkan kecuali tanggapan bahawa bahasa Inggeris adalah bahasa ibunda mereka,” katanya.

Meskipun LLG menghormati hak itu, Lian Geok berkata, pihaknya tidak setuju PPSMI dilaksanakan di mana juga sekolah kerana ia boleh menimbulkan kekeliruan.

“Kalau kita boleh ubah bahasa pengantar dalam subjek Sains dan Matematik, bagaimana pula dengan subjek lain yang tidak mustahil akan ditukar ke bahasa lain, sekali gus menyebabkan kekeliruan besar dalam sistem pendidikan kita.

“Kumpulan elit yang berminat untuk belajar dalam bahasa Inggeris, mereka boleh pergi ke sekolah swasta untuk mendapatkannya,” katanya.

Felo Himpunan Keilmuan Muslim (HAKIM), Imran Mustafa, berkata Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) menganggap hujah bahasa tempatan tidak mampu menjadi bahasa ilmu sebagai mitos.

“UNESCO pernah menerbitkan kertas kajian pada 2004 yang sebenarnya menolak hampir semua hujah yang diberikan kumpulan pro PPSMI dan merangkumkan ke dalam satu seksyen, iaitu Mitos Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Asing, iaitu mitos bahasa tempatan tidak boleh menyampaikan konsep moden.

“Seksyen itu menegaskan semua bahasa mempunyai kemampuan yang sama untuk menyampaikan pemikiran manusia dan membangunkan istilah serta struktur baru yang diperlukan.

“Leopold Senghor pernah membuktikannya dengan menterjemah Teori Relativiti oleh Einstein ke bahasa Wolof, iaitu bahasa lingua franca Senegal,” katanya.

Limpahan kurnia Allah amat besar jika sentiasa memohon

Limpahan kurnia Allah amat besar jika sentiasa memohon


2012/01/16
DARIPADA Anas bin Malik, katanya: Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang memohon syurga kepada Allah sebanyak tiga kali, syurga berkata: Ya Allah, masukkanlah dia ke dalam syurga. Dan sesiapa yang meminta perlindungan daripada neraka sebanyak tiga kali, neraka berkata: Ya Allah, selamatkanlah dia daripada neraka.”

Hadis ini sungguh besar kedudukan dan tahapnya, ia menunjukkan limpah kurnia Allah yang besar dan rahmat-Nya yang begitu luas. Orang yang memohon syurga dan meminta perlindungan daripada neraka ditetapkan syarat iaitu Islam serta benar dalam menghadapkan diri kepada Allah (at-tawajjuh). Demikianlah, bahawa kejayaan dengan syurga dan keselamatan daripada neraka adalah tujuan yang hendak dicapai orang yang mengerjakan solat, berzakat, berpuasa, menunaikan haji, berzikir mengingati Allah dan berjihad.
Untuk mencapai ke tahap itu mereka terpaksa memejam pandangan, memelihara kemaluan dan perutnya, menjaga lidah serta menahan tangannya daripada melakukan perkara terlarang. Perkara ini berterusan menjadi adat kebiasaan sehingga Allah mengampuni mereka.

Daripada Abu Hurairah, katanya Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya Allah mempunyai malaikat yang sentiasa berkeliaran di jalan mencari ahli zikir, apabila mereka mendapati satu kaum yang berzikir mengingati Allah mereka memanggil temannya lalu mereka pun datang mengelilingi orang yang berzikir dengan membentangkan sayapnya ke langit dunia. Lalu mereka ditanya oleh Tuhannya, sedangkan Tuhan lebih mengetahui dari mereka: Apa yang diucapkan hamba-Ku? Mereka menjawab: Hamba-Mu menyucikan, membesarkan, memuji dan mengagungkan-Mu.

Allah bertanya: Adakah mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhan, mereka tidak melihat Mu. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat Ku? Malaikat menjawab: Jika mereka melihat Mu nescaya mereka lebih banyak beribadah kepada Mu, mengagungkan Mu, dan bertasbih memuji Mu.
Allah bertanya: Apakah yang mereka minta kepada-Ku? Malaikat menjawab: Mereka meminta syurga kepada Mu. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Tidak, Demi Allah wahai Tuhanku, mereka tidak pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihat syurga itu? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka lebih tamak lagi terhadapnya, lebih kuat memintanya, dan keinginannya lebih besar padanya.

Allah bertanya: Dari apakah mereka berlindung? Malaikat menjawab: Mereka berlindung dari neraka. Allah bertanya: Adakah mereka telah melihat neraka itu? Malaikat menjawab: Tidak, demi Allah mereka belum pernah melihatnya. Allah bertanya: Bagaimana jika mereka melihatnya? Malaikat menjawab: Sekiranya mereka melihatnya nescaya mereka pasti lebih menjauhkan diri daripadanya, dan pasti lebih takut dengannya.

Allah bertanya: Aku menyaksikan kepada Kamu bahawa Aku telah mengampuni mereka. Ada malaikat berkata: Di kalangan mereka ada si fulan yang bukan dari golongan mereka, namun kedatangannya untuk sesuatu hajat keperluan. Allah berfirman: Mereka adalah kaum yang tidak celaka sesiapa yang duduk dalam majlisnya.”

Mengapa kita tidak memohon syurga kepada Allah, sedangkan Ibnu Abbas meriwayatkan daripada Nabi SAW sabdanya: “Allah menciptakan syurga dan menjuntaikan padanya buah-buahannya, dan mengalirkan padanya sungai-sungainya, kemudian memandang kepadanya lalu berfirman: Bercakaplah, lalu diapun berkata: Sungguh berjaya orang yang beriman. Lalu Allah berfirman: Demi keagungan Ku, engkau tidak akan dimasuki orang yang bakhil kedekut.”

Mengapa kita tidak meminta kepada Allah supaya dimasukkan ke dalam syurga, sedangkan Rasulullah SAW pernah ditanya mengenainya, lalu baginda bersabda: “Sesiapa yang masuk syurga akan hidup di dalamnya tidak akan mati, dikurniakan nikmat padanya tidak pernah terputus, tidak lusuh pakaiannya dan tidak hilang keremajaannya.”

Petikan buku 101 Nasihat Rasulullah SAW Untuk Menjadi Muslimah Paling Bahagia

Malaysia buktikan kesungguhan promosi konsep kesederhanaan

Minda Pengarang: Malaysia buktikan kesungguhan promosi konsep kesederhanaan


2012/01/19
PELANCARAN Yayasan Pergerakan Kesederhanaan Global (YPKG), Institut Wasatiyyah dan Kerusi Wasatiyyah membuktikan kepada masyarakat antarabangsa bahawa Malaysia serius dalam usaha membawa dunia ke arah kesederhanaan sejagat. Idea Pergerakan Kesederhanaan Global (GMM) yang dicetuskan Datuk Seri Najib Razak dua tahun lalu ketika berucap pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGGA) di New York sehingga melahirkan YPKG kelmarin, membuktikan idea Perdana Menteri itu diterima pemimpin dunia serta masyarakat antarabangsa. Kewujudan yayasan dan institut itu tentunya dapat membantu Malaysia menyusun, merangka dan merancang strategi berkesan bagi mengemudi usaha mempromosikan konsep kesederhanaan global supaya ia diterima masyarakat pelbagai agama di seluruh dunia.

Penubuhan dua entiti penting dalam GMM pada peringkat antarabangsa dan Kerusi Wasatiyyah di Universiti Malaya (UM) sewajarnya menjadi platform bagi mana-mana pemimpin Malaysia dan luar negara yang cintakan keamanan, keharmonian serta kesederhanaan untuk sama-sama membantu menggerakkan kesederhanaan global yang bakal diwarisi generasi akan datang. Golongan akademik, profesional dan pakar dalam pelbagai bidang, terutama di Malaysia tidak sepatutnya melepaskan peluang ini untuk membantu menjadikan impian Malaysia sebagai kenyataan iaitu mewujudkan dunia lebih aman, bebas konflik, ekstremisme dan peperangan. Inilah masa paling sesuai bagi cerdik pandai dan cendekiawan Islam, terutama di negara ini turut serta menjayakan gerakan kesederhanaan global berlandaskan syariat dan ajaran Islam. Bagi memastikan konsep kesederhanaan ini mendapat sokongan masyarakat dunia, umat Islam terlebih dulu wajar membuktikan kepada penganut lain dalam setiap tindakan mereka menepati konsep kesederhanaan. Segala formula kesederhanaan yang dituntut Islam ke atas umatnya harus menjadi tonggak dan rujukan utama dalam menyelesaikan setiap konflik. Sudah pasti GMM amat memerlukan modal insan berfikiran jauh, terbuka dan berwawasan dengan berpegang teguh kepada ajaran Islam yang mementingkan kesederhanaan dalam setiap aspek kehidupan dan amalan. Kita percaya elemen kesederhanaan ini juga terkandung dalam kebanyakan agama lain yang dianuti sebahagian besar penduduk dunia. Tidak ada agama menyuruh umatnya bertindak ekstrem dalam mencari penyelesaian konflik. Konsep kesederhanaan yang dicetuskan Malaysia tidak sepatutnya mewujudkan sikap pesimis mana-mana pihak, sebaliknya patut disokong sepenuhnya demi mewujudkan dunia lebih selamat. Dengan adanya yayasan ini, ia akan memudahkan lagi penyebaran bahan kempen dan maklumat kepada masyarakat dunia memerangi keganasan ekstrem.

Tahap pembacaan rakyat kita mundur

Tahap pembacaan rakyat kita mundur
Oleh Imlan Adabi

2012/01/16
MUNGKIN kita berbangga pencapaian fizikal dengan deretan bangunan pencakar langit, profesional dalam pelbagai bidang dan graf ekonomi seiring pencapaian siasah memberangsangkan.

Kita mungkin juga boleh mendabik dada kerana melahirkan angkasawan negara, memiliki dua syarikat kereta nasional dan industri berat membabitkan kepakaran anak tempatan. Bagaimanapun mungkinkah kita berpuas hati dengan pengisian minda rakyat Malaysia? Sejauh manakah budaya membaca menjadi cara hidup kita? Apakah industri buku setanding dengan 28 juta jumlah penduduk? Buku tahap mana dibaca anak Malaysia? Karya popular dan picisan atau ilmiah dan informatif? Kita harus terima hakikat negara maju ekonomi seiring kemajuan ilmu dan intelektual. Buku pelengkap kemajuan.
Lazimnya sebahagian kita menghias rumah tamu dengan perabot mewah – sofa dari Itali atau kerusi kayu jati dari Indonesia, sistem teater rumah dan High-definition television (TV HD) berjenama. Buku tiada di rumah tamu, atau barangkali tersorok di bilik tidur sekian lama.

Budaya membaca belum lagi menjadi rutin di kalangan kita. Kajian membuktikan ramai yang membaca untuk dapatkan sijil dan ijazah, meninggalkan bahan bacaan apabila sudah berkerjaya.

Cara hidup kita berbeza dengan masyarakat negara maju walaupun kita sering klise dengan Wawasan 2020.
Kita ada pesta buku setiap tahun, namun budaya membaca masih rendah. Berbeza pesta tahunan di Edinburgh, London dan Frankfurt yang diadakan pada Mac dan Oktober yang bukan saja membabitkan jualan buku terlaris, juga mengekalkan suasana pembacaan. Mereka juga mesra buku terpakai, karya terbuang yang dibaik pulih.

Pesta Buku Edinburgh tidak pernah sunyi dengan maklumat ‘Bookstart’ iaitu kempen pembacaan untuk kanak-kanak. ‘Bookstart’ kempen diiktiraf organisasi perbukuan seperti International Board on Books for Young People (IBBY). Ia diguna pakai dipelbagai negara untuk melatih dan menggalakkan ibu bapa mendidik anak membaca sejak bayi. Kita kurang usaha sedemikian.

Mereka juga mempunyai Oxfam – peruncit buku lama yang terbesar di Eropah dengan jualannya lebih 11 juta buku setiap tahun. Ada 750 kedai Oxfam di seluruh United Kingdom menjual buku dan lebih 100 daripadanya kedai buku atau kombinasi kedai buku dan muzik. Buku dijual hasil derma orang ramai. Petugasnya pula tenaga sukarela.

Di Jepun pula budaya membaca sehangat sukan judo dan bola sepak di kalangan rakyatnya. Di mana-mana saja buku menjadi teman sejati termasuk dalam tren selaju 250 kilometer sejam.

Budaya membaca diamalkan seawal kanak-kanak di ‘Hoiku-en’ atau ‘Yochi-en’ (tadika). Mereka disogok dengan buku cerita dilengkapi halaman khas (lazimnya di kulit belakang) dipenuhi gambar berulang sebagai info ulangkaji kanak-kanak awal persekolahan. Setiap kali selesai membaca, kanak-kanak diarah mewarna gambar sebagai latihan minda.

Bagaimanapun rakyat Malaysia masih dikategorikan masyarakat kurang membaca. Mengikut kajian Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), kita secara purata membaca dua buku setahun.

Berdasarkan statistik dikeluarkan PNM, 16,044 buku diterbitkan pada 2008 berbanding 10,310 judul pada 2005.

Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia 2005 pula menunjukkan secara purata, rakyat membaca dua buku setahun. Kajian pada 2009 menunjukkan purata rakyat berumur 10 tahun ke atas membaca sembilan hingga 12 buku setahun. Sebanyak 56,676 mendaftar sebagai ahli perpustakaan tempatan di seluruh negara pada 2010 dengan 776,347 buku dipinjam di PNM pada tempoh sama. Bagaimanapun angka itu masih rendah kerana lapan tahun terakhir menjelang 2020, kita masih merangkak dan segan ilmu berbanding bangsa lain di Asia Timur. Di manakah silap kita?

Ekstremisme bukan sekadar tindakan keganasan

Ekstremisme bukan sekadar tindakan keganasan
Oleh Razak Ghows
bhnews@bharian.com.my
2012/01/19
Masalah kewangan melanda seluruh dunia beri kesan lebih teruk daripada peristiwa 9/11

SETIAP kali perbincangan diadakan mengenai ekstremisme, Islam dan Muslim akan dikaitkan bersama. Apakah ini menunjukkan hanya Muslim saja bertindak secara ganas atau ditonjolkan dengan sengaja bagi mengaburi pandangan orang lain bahawa semua Muslim itu ganas. Memang ada Muslim yang bertindak menyerang pihak tertentu tetapi ini tidak bermakna semua Muslim pengganas. Ia juga bermakna tidak semua bukan Muslim tidak boleh bertindak ganas. Lihat saja beberapa kejadian di Eropah, Amerika Syarikat, Asia Barat dan Asia. Keganasan berlaku di banyak tempat termasuk di Ireland Utara, Palestin, Vietnam dan Sri Lanka. Namun bukan semuanya ada kaitan dengan Muslim. Di Palestin ada dua pihak yang terbabit, tanpa mengecualikan keganasan dan pencerobohan Zionis di bumi orang Islam.

Tetapi apabila berlaku kejadian pembunuhan di Norway tahun lalu, sekali lagi ekstremis Muslim dipersalahkan untuk kejadian terbabit, tetapi siasatan pihak berkuasa menunjukkan sebaliknya.

Namun ahli politik, wartawan dan pengulas isu semasa tetap berpendirian bahawa keganasan dan Islam ada kaitan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika berucap merasmikan Persidangan Gerakan Kesederhanaan Global 2012 (GMM) di Kuala Lumpur kelmarin.

Katanya, selepas Timothy McVeigh melakukan pembunuhan beramai-ramai di bandar raya Oklahoma, tiada siapa menyatakan orang Kristian bertanggungjawab melakukannya. Untuk menuduh orang Kristian bagi kejadian seumpama adalah sesuatu yang ganjil, namun beginilah situasi yang terpaksa dihadapi oleh 1.3 bilion penduduk Muslim di seluruh dunia hari ini.
Prof Dr Maurits Berger dari Universiti Leiden, Belanda berpendapat keperluan kepada kesederhanaan adalah keperluan dunia. Dr Berger yang menyampaikan pandangannya itu dalam kertas kerja bertajuk Mencari Suara Sederhana Daripada Dalam, berkata terlalu banyak perhatian diberikan sebelum ini kepada golongan ekstremis minoriti, yang membayangi golongan sederhana yang sebenarnya majoriti.

Katanya, suara golongan majoriti ini perlu didengar tetapi mereka perlu menyuarakan dengan lebih tegas dan persidangan ini adalah salah satu tempatnya.

Menurut Berger, seorang kolumnis sebuah akhbar di Arab Saudi pernah menulis pada 2002: Bukan semua Muslim itu pengganas, tetapi hampir semua pengganas adalah Muslim, menyebabkan perlunya orang Islam melihat ke dalam diri mereka.
Persoalan yang perlu dijawab ialah bagaimana boleh agama yang seindah ini menyebabkan golongan tertentu menjadi ekstrem, malah ganas?

Justeru, lebih ramai Muslim perlu bangkit menyuarakan pandangan mereka. Malah golongan berpandangan sederhana daripada semua agama harus bangun menjelaskan pendirian mereka, bagi membolehkan dunia mencapai keamanan.

Keganasan atau ekstremisme juga sering dikaitkan dengan kejadian buruk, pembunuhan, kekacauan dan penderitaan. Tetapi menurut Perdana Menteri, ekstremisme tidak selalunya ganas. Sebagai contoh, krisis kewangan global yang dihadapi oleh dunia beberapa tahun lalu adalah antara perkara ekstrem yang berlaku dalam sejarah tetapi ia tidak ganas.

Sudah empat tahun ia meruntun dunia dan masih belum ada penyelesaian. Zon Eropah masih menghadapi krisis berkenaan. Berjuta-juta orang kehilangan pekerjaan, rumah dan masa depan.

Selain krisis kewangan global, keengganan pihak tertentu bersikap toleransi adalah antara ancaman ekstremisme yang perlu ditangani semua pihak termasuk pertubuhan dan kerjasama serantau.

Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, berkata persidangan kesederhanaan global ini diadakan tepat pada masa bagi mengisi kelompangan sejak berlaku peristiwa 9/11.

“Apa yang berlaku selama ini ialah satu peratus golongan ekstrem mendapat 100 peratus perhatian dunia. Tidak kira sama ada ia berjaya atau tidak, ia adalah inisiatif baik bagi membolehkan kita memberi pendapat,” kata Dr Shamsul

Bajet 2011

Intipati Bajet 2011
KUALA LUMPUR: Berikut ialah intipati Bajet 2011 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak di Dewan Rakyat, hari ini:



* Pembinaan projek pembangunan bercampur termasuk kediaman mampu milik bernilai RM10 bilion di Sungai Buloh yang dijangka siap pada 2025.



* Pembinaan projek bersepadu "Warisan Merdeka" dengan menara 100 tingkat tertinggi di Malaysia bernilai RM5 bilion yang dijangka siap pada 2015.



* Pembangunan Zon Akuakultur Bersepadu di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak dengan peruntukan RM252 juta.



* Peruntukan RM135 juta bagi persediaan prasarana asas menggalakkan petani menceburi bidang bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit.



* Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat dalam aktiviti pengeluaran bahan makanan sehingga 2015.



* RM85 juta untuk membina kemudahan infrastruktur bagi membolehkan hotel dan pusat peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong.



* RM50 juta bagi membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang.



* Pembangunan pusat peranginan bersepadu eco-nature pertama di dunia bernilai RM3 bilion oleh Nexus Karambunai di Sabah bermula tahun depan.



* Pemansuhan duti import ke atas 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli-belah di Asia.



* RM119 juta untuk membangunkan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.



* Pengecualian cukai jualan ke atas semua jenis telefon bimbit.



* RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan untuk mempercepatkan pembangunan koridor dan wilayah.



* RM411 juta untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan sebagai landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi.



* Penubuhan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri dengan peruntukan RM71 juta bagi tahun depan untuk mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.



* RM200 juta untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.



* Kadar cukai perkhidmatan dicadang dinaikkan satu peratus kepada enam peratus untuk menjamin kesejahteraan masa hadapan negara.



* Cukai perkhidmatan juga dicadang dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.



* Meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai bagi memantapkan kutipan hasil.



* Menyusun semula dan memperkukuhkan aspek pendidikan dan latihan dengan belanja mengurus RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion (Kementerian Pengajian Tinggi) dan RM627 juta (Kementerian Sumber Manusia).



* Menubuhkan "Talent Corporation" di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011 untuk membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.



* RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.



* Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bagi perbelanjaan pembangunan.



* Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion bagi perkhidmatan dan bekalan, RM86.4 billion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenakan Bayaran Tetap.



* Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk pembelian aset dan RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.



* Bagi peruntukan pembangunan, RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.



* Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.



* RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.



* Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion berbanding RM162.1 bilion pada 2010.



* Defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK berbanding 5.6 peratus pada 2010.



* Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 billion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.



* RM213 juta lagi dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.



* Pendaftaran prasekolah akan ditingkatkan dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan ijazah.



* RM111 juta diperuntukkan bagi program PERMATA antaranya bagi pembinaan fasa 2 Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang sudah siap.



* RM250 juta diperuntukkan bagi sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan kerajaan seluruh negara.



* Kerajaan juga bersetuju membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan RM95 juta sebagai mengiktiraf pendidikan Islam.



* Bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, kerajaan menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pelajaran.



* Sejumlah RM213 juta diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan kurikulum standard sekolah rendah.



* Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.



* Peratusan staf akademik berkelulusan PhD ditambah kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan RM20 juta.



* Skim Rumah Pertamaku dengan jaminan kerajaan ke atas bayaran pendahuluan 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.



* Menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah untuk pekerja estet oleh BSN.



* Program Bantuan Rumah (12,000 unit) untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.



* Mewujudkan "Portal 1Malaysia Pengguna Bijak".



* Memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu bagi menyeragamkan harga barangan.



* Memperkenalkan Program Transformasi Kedai Runcit, Bengkel Automotif dan Projek Pasar Komuniti.



* Melancarkan Dana Pencen Swasta.



* Melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera bernilai RM1 bilion dan patuh syariat.



* Menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah seluruh negara.



* Meneruskan program subsidi bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan.



* Kadar tol di empat lebuh raya milik PLUS Expressway Bhd tidak akan dinaikkan bagi tempoh lima tahun akan datang bermula serta-merta.



* Mengkaji semula had minimum kebankrapan yang pada masa ini berjumlah RM30,000.



* Permohonan PR boleh dilakukan selepas lima tahun.



* Menyediakan empat bas sebagai Klinik Bergerak.



* Merangka Model Baru Pembangunan Orang Asli dan Pribumi.



* Memperkukuh JHEOA dengan mentransformasi kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli. - BERNAMA - BERNAMA




10 sekolah dijadikan sekolah amanah tahun depan
KUALA LUMPUR: Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah, tahun depan dalam usaha melaksanakan tanggungjawab sosial korporatnya.



Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sekolah itu akan dikendalikan secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti.



"Selain mendapat peruntukan lazim kerajaan, sekolah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional," katanya ketika membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat, hari ini.



Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pula akan menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia.



Beliau berkata, penubuhan dana berkenaan dicadangkan pada sesi “TownHall” Makmal Pemuda Barisan Nasional (BN) baru-baru ini.



Dalam bidang kesihatan pula, Najib berkata, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan menyediakan empat bas klinik bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan.



Bagi membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi cemerlang di sekolah, IMDB akan menyediakan multivitamin untuk pelajar sekolah rendah.



"Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah", kata Najib. - BERNAMA





Hasil dijangka naik 2.3 peratus, defisit turun kepada 5.4 peratus
KUALA LUMPUR: Hasil kerajaan Persekutuan dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion tahun depan berbanding RM162.1 bilion tahun ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, defisit negara pula dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berbanding 5.6 peratus tahun ini.

Perdana Menteri mengumumkan demikian semasa membentangkan Bajet 2011 di Dewan Rakyat hari ini.

Bajet 2011 berjumlah RM212 bilion, 2.8 peratus lebih tinggi berbanding 2010, memperuntukkan RM162.8 bilion bagi perbelanjaan mengurus dan RM49.2 bilion bagi perbelanjaan pembangunan.

Sejumlah RM45.6 bilion daripada peruntukan mengurus adalah bagi emolumen; RM28.2 bilion (Perkhidmatan dan Bekalan); RM86.4 bilion (Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap); RM1.4 bilion (Pembelian Aset); dan RM1.2 bilion bagi perbelanjaan lain.

Bagi peruntukan pembangunan, Najib berkata RM28.3 bilion bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar.

Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Sejumlah RM4.4 bilion (pembangunan sektor keselamatan), RM955 bilion (pentadbiran am) dan RM2 bilion (simpanan luar jangka).

Semasa pembentangan itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata negara telah pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia berikutan langkah positif kerajaan serta pelaksanaan dua pakej rangsangan ekonomi berjumlah RM67 bilion.

Katanya, ia terbukti dengan KDNK berkembang pada 9.5 peratus bagi separuh pertama 2010, berbanding negatif lima peratus bagi tempoh sama tahun lalu.

"Ekonomi dunia turut dijangka pulih pada 4.8 peratus berbanding negatif 0.6 peratus pada 2009, manakala perdagangan antarabangsa berkembang 11.4 peratus berbanding negatif 11 peratus pada 2009," katanya.

Di peringkat domestik, penunjuk utama pertumbuhan ekonomi termasuk Indeks Bursa Malaysia melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober lalu; peningkatan eksport 22 peratus bagi lapan bulan pertama 2010; pengukuhan nilai ringgit kepada dolar Amerika kepada 3.0833 pada 14 Okt lalu; dan rizab antarabangsa berjumlah RM310.8 bilion (AS$100.7 bilion) yang mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara.

Najib berkata dengan perkembangan positif, kerajaan menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi 2010 kepada 7 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini.

Katanya, prestasi memberangsangkan itu adalah ekoran peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan (6.5 peratus) dan pembinaan (4.9 peratus).

"Kadar inflasi diunjurkan pada paras 2 hingga 3 peratus manakala kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus," katanya. - BERNAMA



Teks Ucapan Bajet 2011
Ucapan pembentangan Bajet 2011 oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Najib Razak.



"Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi"



"Suatu Akta bagi menggunakan sejumlah wang daripada Kumpulan Wang Disatukan untuk perkhidmatan bagi 2011 dan bagi memperuntukkan wang itu untuk perkhidmatan bagi tahun itu" dibaca bagi kali kedua.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani,



Firmannya:



"Dan carilah pada apa yang telah dianugerahkan Allah kepadamu yakni kebahagiaan negeri akhirat, dan janganlah kamu melupakan bahagianmu dari kenikmatan duniawi dan berbuat baiklah kepada orang lain sebagaimana Allah telah berbuat baik kepadamu, dan janganlah kamu berbuat kerosakan di muka bumi".

(Surah Al-Qasas, ayat 77)



1. Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran dan segala kepujian dipanjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala yang telah mengizinkan saya, membentangkan Bajet Negara bagi tahun 2011.



Sesungguhnya, ini bukan bajet yang lazim. Bajet ini amat bermakna sebagai helaian-helaian pembuka tirai kepada pusingan akhir ke arah Wawasan 2020 yang bakal menjelang kira-kira 3,365 hari atau sembilan tahun dua bulan dan 17 hari lagi.



2. Justeru, pada petang Jumaat yang mulia ini, penghulu segala hari, saya akan meletak bata-bata pengmuktamad serta memahat paku-paku pelengkap sekali gus menaikkan layar Bahtera Malaysia menuju ufuk negara maju.



Hakikatnya, sejak 18 bulan lalu Kerajaan telah mempersiapsiagakan ceracak-ceracak yang kukuh sebagai asas lonjakan seterusnya kepada perjalanan Malaysia menjadi negara maju berpendapatan tinggi.



3. Sesungguhnya, Bajet ini digubal dengan penuh keazaman untuk mendokong perubahan besar kepada kemajuan negara dan kesejahteraan rakyat.



Proses transformasi ini dilaksanakan secara holistik meliputi aspek ekonomi, sosial dan politik.



4. Bajet 2011, mendakap semangat dan realiti pentadbiran terkini yang mengangkat Konsep 1Malaysia sebagai falsafah induk yang memandu hala tuju negara.



Pelan Transformasi Kerajaan atau GTP dan Pelan Transformasi Ekonomi yakni ETP pula menjadi Peta Panduan.



Enam NKRA, Model Baru Ekonomi dengan lapan terasnya pula membentuk Kerangka Kerja kepada arah tuju tersebut.



Seterusnya, perinciannya sedang dan akan diterjemah melalui Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) dan Rancangan Malaysia Kesebelas (RMKe-11).



5. Sememangnya lagi, seperti mana yang saya sering utarakan, era kerajaan tahu segalanya sudah pun berakhir.



Lantaran, dalam menggubal Bajet ini, Kerajaan telah merundingi dan mengambil kira pandangan pelbagai pihak terdiri daripada sektor awam, sektor swasta, focus group (kumpulan tumpuan), sumbangan media massa, cadangan blog 1Malaysia serta sesi-sesi makmal.



6. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang terbabit. Inilah kekuatan 1Malaysia, inilah berkat gabungan percambahan idea dan gandingan usaha gigih yang telah dicurahkan.



Hati kuman sama dicicah, hati gajah sama dilapah.



InsyaAllah saya yakin kita akan dapat menangani pelbagai cabaran dan rintangan yang dihadapi. Bahkan, lebih dari itu, bersama-sama kita pasti mampu keluar dari perangkap ekonomi berpendapatan sederhana serta melonjak ke tahap pembangunan yang jauh lebih tinggi.



7. Alhamdulillah, negara kita sudah berjaya pulih daripada kemelesetan ekonomi dunia berikutan daripada langkah proaktif yang telah diambil oleh Kerajaan dan pelaksanaan dua Pakej Rangsangan Ekonomi berjumlah RM67 bilion.



Kejayaan langkah ini, terbukti dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berkembang pada 9.5 peratus bagi tempoh separuh pertama 2010, berbanding negatif lima peratus bagi tempoh sama tahun lalu.



Prestasi ekonomi dunia, turut dijangka kembali pulih pada kadar 4.8 peratus berbanding negatif 0.6 peratus pada 2009.



Begitu juga dengan perdagangan antarabangsa, berkembang 11.4 peratus berbanding negatif 11 peratus pada 2009.



8. Sementara di peringkat domestik, penunjuk utama turut mempamerkan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh. Indeks Komposit Bursa Malaysia pula melonjak kepada 1,496 mata pada 14 Oktober 2010, antara tertinggi sejak Februari 2008.



Hasil eksport juga memberangsangkan bagi tempoh lapan bulan pertama 2010, ia meningkat sebanyak 22 peratus dan import 28 peratus, khususnya import barangan modal meningkat sebanyak 18 peratus.



9. Kedudukan ringgit pula, semakin kukuh dengan kadar pertukaran bagi AS$1 Amerika Syarikat mencecah 3.0833 pada 14 Oktober 2010.



Peningkatan 11 peratus sejak 31 Disember 2009, menjadikan ringgit antara mata wang yang paling teguh, di rantau ini.



Rizab antarabangsa negara kekal padu, berjumlah RM310.8 bilion atau AS$100.7 bilion pada 30 September 2010.



Ia mampu membiayai 8.5 bulan import tertangguh dan 4.3 kali lebih tinggi daripada hutang luar jangka pendek negara.



10. Dengan perkembangan positif ini, Kerajaan telah menyemak semula kadar pertumbuhan ekonomi negara bagi 2010 kepada tujuh peratus, berbanding enam peratus sebelum ini.



Ia, jauh lebih tinggi berbanding negatif 1.7 peratus pada 2009. Prestasi memberangsangkan ini, akan diupaya oleh peningkatan pengeluaran sektor pembuatan yang berkembang pada 10.8 peratus, perkhidmatan 6.5 peratus dan pembinaan 4.9 peratus.



Manakala perbelanjaan pelaburan dan penggunaan swasta masing-masing 15.2 peratus dan 6.7 peratus serta eksport 11.6 peratus.



11. Bagi 2011, pertumbuhan ekonomi dan perdagangan dunia dijangka sederhana sebanyak 4.2 peratus dan tujuh peratus.



Selaras dengan itu, pertumbuhan ekonomi negara dijangka meningkat, pada kadar lima hingga enam peratus.

Bagaimanapun, Kerajaan akan berusaha sedaya mungkin, untuk mencapai pertumbuhan enam peratus.



Pertumbuhan ini akan didorong oleh pelaburan swasta sebanyak 10.2 peratus, penggunaan swasta 6.3 peratus dan eksport 6.7 peratus.



Sektor pembuatan pula kekal menerajui pertumbuhan, berkembang 6.7 peratus dan perkhidmatan 5.3 peratus.



12. Pendapatan per kapita bertambah 6.1 peratus kepada RM28,000. Pendapatan per kapita mengikut kuasa beli pariti meningkat kepada AS$16,000.



Unjuran ini mengambil kira paras inflasi yang sederhana pada dua hingga tiga peratus dan kadar pengangguran kekal rendah pada 3.5 peratus.



13. Menyongsong strategi Bajet 2011 demi mencapai status negara maju yang diaspirasikan, kita tidak boleh lagi terpenjara dengan kelaziman. Kita mesti menerjang keluar dari belenggu pemikiran dan cara kerja yang biasa.



Pucuk pangkalnya, kejayaan menuntut kepada perubahan dan pembaharuan. Ia tidak boleh lagi berdikit-dikit tetapi menghambat lonjakan mega.



Ternyata, apa yang dihadapkan kepada kita sangat jelas. Perubahan bukan lagi satu opsyen. Ia satu imperatif. Berubah atau kita akan ketinggalan.



14. Hatta, tawarikh menyaksikan, kita melakukan perubahan dan pembaharuan, kita berjaya mentransformasikan Malaysia daripada negara pertanian hingga menjadi antara negara pengeksport terbesar di dunia.



Dari itu, cabaran generasi kepimpinan hari ini adalah untuk membuat lonjakan seterusnya. Ia bukanlah satu kemustahilan.



Dengan perancangan yang rapi seperti ini dan strategi yang jelas, mudah-mudahan kita akan berjaya.



15. Dalam pada itu, pola perdagangan luar semakin mencabar, manakala saingan menarik modal antarabangsa kian sengit.



Tambahan lagi, persekitaran ekonomi global kini, pantas bertukar.



Dalam keadaan ini, sektor swasta perlu menyahut cabaran untuk menjadi peneraju pertumbuhan ekonomi yang lebih dinamik, kreatif dan inovatif.



Mereka perlu lebih berani mengambil risiko, dan berani, merebut peluang yang ada.



Yang pentingnya, Kerajaan akan menyediakan ekosistem yang terbaik bagi memastikan perkara ini boleh diterjemahkan.



16. Justeru, Bajet ini akan memberi tumpuan kepada usaha mentransformasi Malaysia, menjadi negara maju berpendapatan tinggi, berpembangunan inklusif dengan pertumbuhan mapan diterajui sektor swasta serta mendahulukan kesejahteraan rakyat.



Bertemakan "Transformasi Ke Arah Negara Maju Berpendapatan Tinggi", Bajet 2011, ini akan menumpu kepada empat strategi utama berikut:



Pertama: Mendaya Kembali Pelaburan Swasta;



Kedua: Membangunkan Modal Insan;



Ketiga: Mensejahterakan Hidup Rakyat; dan



Keempat: Memantapkan Penyampaian Perkhidmatan Awam



17. Strategi pertama adalah mendaya kembali pelaburan swasta.



Hari ini, kita dapati Kerajaan memainkan peranan yang signifikan dalam menjana ekonomi negara. Corak pertumbuhan ini berlaku berikutan krisis kewangan 1997/1998.



Sudah tiba masanya sektor swasta kembali bertindak sebagai enjin pertumbuhan seperti mana pra-kegawatan.



Sehubungan itu, Kerajaan membuat pengumuman dan percaturan supaya Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMKe-10) yang bermula pada tahun 2011 mengenengahkan lagi peranan sektor swasta.



Pada 2011, Kerajaan menganggarkan jumlah nilai semasa pelaburan swasta akan berkembang 12.5 peratus kepada sebanyak RM86 bilion.



Di samping itu, pelaksanaan 12 National Key Economic Area (NKEA) dijangka menjana pelaburan bernilai lebih RM1.3 trilion atau AS$444 bilion dan mewujudkan 3.3 juta peluang pekerjaan sepanjang tempoh pelaksanaannya.



Daripada jumlah ini, 92 peratus akan dibiayai oleh sektor swasta dan bakinya oleh Kerajaan.



18. Dalam konteks ini, Kerajaan akan mempergiatkan lagi inisiatif Projek Perkongsian Awam-Swasta atau PPP bertujuan meningkatkan penyertaan sektor swasta dalam kegiatan ekonomi.



Pelaksanaan projek PPP dengan peruntukan Kerajaan disediakan sebagai tipping point untuk membangunkan infrastruktur sokongan bagi membolehkan projek yang diterajui sektor swasta menjadi lebih berdaya maju.

Sehubungan itu, beberapa projek PPP sudah dikenal pasti dalam RMKe-10 akan mula dilaksanakan pada tahun depan dengan kos pelaburan swasta RM12.5 bilion.



Kerajaan pula akan menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion daripada Dana Mudahcara.



Antara projek PPP yang terbabit adalah:



Pertama:

Pembinaan Lebuhraya (seperti Lebuhraya Bertingkat Ampang-Cheras-Pandan, Lebuhraya Guthrie-Damansara, Lebuhraya Damansara-Petaling Jaya, Lebuhraya Pantai Barat Banting-Taiping, Lebuhraya Sungai Dua-Juru dan Lebuhraya Paroi-Senawang-KLIA);



Kedua:

Pembinaan Loji Janakuasa Kitar Padu Gas 300 mega watt di Kimanis, Sabah bagi menambah kapasiti bekalan elektrik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat;



Ketiga:

Projek pembangunan kesihatan seperti Hospital Pengajian Universiti Islam Antarabangsa, Malaysia di Kuantan, Pahang, Hospital Wanita dan Kanak-kanak serta Kompleks Institut Penyelidikan Kesihatan Bersepadu di Kuala Lumpur.



19. Satu lagi projek PPP yang dikenal pasti adalah Academic Medical Centre.



Projek ini adalah usaha sama antara Academic Medical Centre Sdn Bhd dengan Johns Hopkins Medicine International dan Royal College of Surgeons Ireland. Projek ini membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM2 bilion.



20. Mutakhir ini, kita sudah mula menyaksikan kembalinya peranan sektor swasta dalam ekonomi melalui beberapa projek strategik berimpak tinggi.



Contohnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan kerjasama Mubadala Development Company (Mubadala), syarikat pelaburan Kerajaan Abu Dhabi bersetuju membangunkan Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIFD) bermula tahun depan dengan nilai anggaran sebanyak RM26 bilion.



KLIFD akan menempatkan secara bersepadu, bank utama antarabangsa dan firma perkhidmatan kewangan profesional termasuk pakar syariah.



Apa yang mustahak adalah, pembangunan strategik sebegini akan terus menempatkan Malaysia sebagai hab kewangan Islam terulung di dunia. Kerajaan bersedia untuk menimbangkan pakej insentif yang menarik sebagai galakan untuk mereka yang melabur di KLIFD kelak.



21. Seterusnya, transit aliran berkapasiti tinggi (MRT) di Greater KL (Lembah Klang) akan dilaksanakan mulai tahun depan.



Projek ini dengan anggaran kos pelaburan swasta kira-kira RM40 bilion dijangka siap sepenuhnya menjelang tahun 2020 akan menambah kadar kepenggunaan pengangkutan awam sekurang-kurangnya 40 peratus.



Projek MRT dijangka menyediakan pengangkutan awam yang efisien dan selesa serta pengguna dapat menuju ke destinasi dengan pantas.



Sistem MRT ini juga akan memperhebatkan jaringan hubungan di Lembah Klang dan diintegrasikan dengan mod pengangkutan yang lain seperti bas dan teksi.



22. Satu lagi projek utama yang akan dilaksanakan adalah pembangunan tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh seluas 2,680 ekar.



Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan melaksanakan pembangunan bercampur membabitkan kediaman mampu milik, perdagangan, industri serta kemudahan prasarana.



Keseluruhan pembangunan ini, dianggarkan bernilai RM10 bilion, dan dijangka siap sepenuhnya menjelang 2025.



23. Di sudut yang lain, kita berasa sungguh berbangga, bahawa, ke mana saja kita pergi, semua orang mengetahui tentang Menara Berkembar Petronas yang menjadi ikon negara.



Ia adalah satu monumen kepada semangat Malaysia Boleh. Hakikatnya, kekuatan negara adalah adunan dan bauran sejarah kelmarin dan harapan hari esok.



Jadi, sebagai satu lagi mercu tanda kebanggaan negara menjelang 2020, Permodalan Nasional Bhd (PNB) akan mula membangunkan projek bersepadu yang dinamakan Warisan Merdeka.



Ia akan mengekalkan Stadium Merdeka, Stadium Negara dan pembinaan sebuah menara 100 tingkat yang tertinggi di Malaysia.



Keseluruhan projek ini bernilai RM5 bilion, di mana menaranya dijangka akan siap pada 2015.



24. Bagi menyokong dasar liberalisasi kewangan negara, Kerajaan akan terus berusaha mencergaskan lagi pasaran modal domestik dengan mengambil langkah berani, terutamanya mempelbagaikan produk pelaburan, meliberalisasi syarat pegangan ekuiti dan had pelaburan, menyediakan insentif yang lebih menarik serta meningkatkan kerjasama dengan bursa asing.

Oleh itu, langkah berikut akan dilaksanakan:



Pertama:

Syarikat Pelaburan Berkaitan Kerajaan (GLIC) akan mengurangkan pegangan saham dalam syarikat utama di Bursa Malaysia untuk meningkatkan kecairan dan halaju dagangan pasaran;



Kedua:

GLIC akan dibenar meningkatkan pelaburan di luar negara bagi menerokai peluang pulangan pelaburan yang lebih baik. Sebagai contoh, KWSP yang mempunyai pelaburan antarabangsa sebanyak tujuh peratus, akan ditingkatkan sehingga 20 peratus daripada jumlah aset diuruskan;



Ketiga:

Penyenaraian anak syarikat Petronas dan MISC, iaitu Petronas Chemical Sendirian Bhd dan Malaysia Marine and Heavy Engineering Holdings Bhd akan menawarkan pegangan awam yang lebih tinggi pada tahun ini;



Keempat:

Bursa Malaysia akan melancarkan Sukuk dan bon konvensional untuk memenuhi permintaan pelabur runcit terhadap pelaburan pendapatan tetap untuk meningkatkan kerancakan pasaran bon;



Kelima:

Suruhanjaya Sekuriti akan menawarkan tiga lesen syarikat broker saham baru kepada syarikat tempatan, asing atau usaha sama yang layak, untuk meningkatkan penyertaan pasaran runcit;



Keenam:

Suruhanjaya Sekuriti akan menambahkan bilangan Proprietary Day Traders yang beroperasi di pasaran; dan



Ketujuh: Suruhanjaya Sekuriti juga akan mempermudahkan proses dan prosedur penyenaraian syarikat dan produk, terutamanya Dana Dagangan Bursa.



25. Dalam nafas yang sama, pasaran modal Islam akan terus diunggulkan. Untuk tujuan ini, Bursa Malaysia akan membangunkan international board bagi membolehkan penyenaraian saham asing, termasuk produk patuh syariah.



26. Makanya, bagi terus menggalakkan inovasi dalam produk sekuriti Islam, Kerajaan mencadangkan perbelanjaan bagi menerbitkan sekuriti Islam yang menggunakan prinsip Murabahah dan Bai Bi-thaman Ajil berasaskan tawarruq diberi potongan cukai.



Ini akan mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran sukuk utama dan mempromosi transaksi dalam Bursa Suq al-Sila, satu platform perniagaan komoditi patuh Syariah, yang pertama seumpamanya di dunia.

Kerajaan juga mencadangkan sumbangan takaful bagi kredit eksport diberi potongan cukai dua kali.





27. Dalam menggalakkan lagi inovasi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi, modal teroka memainkan peranan penting terutamanya dalam sektor berteknologi tinggi seperti ICT, bioteknologi dan industri kreatif.

Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan Latihan Peningkatan Keusahawanan kepada 500 bakal teknopreneur dan menarik lebih ramai "angel investors", kedua-duanya akan dikendalikan oleh Cradle Fund, anak syarikat Kementerian Kewangan.

Manakala, Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) pula akan diberi Dana Permulaan Perniagaan berjumlah RM100 juta untuk memberi pembiayaan mudah dengan bayaran balik setelah syarikat menjana pendapatan.

MTDC juga akan menganjurkan International Venture Capital Symposium pada tahun depan untuk memadan pemodal teroka asing dan tempatan bagi merancakkan lagi industri berteknologi tinggi.



28. Melangkah ke hadapan, sebagai penyertaan yang lebih bermakna dan mapan oleh golongan Bumiputera pula, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan memberi peluang kepada pemilikan Bumiputera dalam sektor hartanah komersil utama di bandar utama dalam negara.

Bumiputera dapat melanggan dalam tabung pemilikan hartanah komersil kelas utama di Lembah Klang melalui skim pemilikan berkelompok.

Untuk ini, Yayasan Amanah Hartanah Bumiputera akan melancarkan Skim Amanah Hartanah Bumiputera pada tahun ini dengan saiz bernilai satu bilion ringgit dan patuh syariah.

29. Untuk merancakkan lagi aktiviti pasaran modal, saya ingin mengumumkan Kerajaan akan melancarkan Dana Pencen Swasta pada 2011.

Dana ini akan memberi manfaat kepada pekerja sektor swasta dan mereka yang bekerja sendiri.

Pelepasan cukai pendapatan sehingga RM6,000 sedia ada bagi caruman pekerja kepada KWSP diperluaskan untuk meliputi caruman yang dibuat kepada Dana Pencen Swasta termasuk caruman oleh mereka yang bekerja sendiri.

Majikan juga akan diberi potongan cukai ke atas caruman yang dibuat bagi pihak pekerjanya.

Ini akan memberikan pilihan kepada rakyat bagi melabur untuk hari tua mereka.



30. Industri Elektrik dan Elektronik (E&E) merupakan penyumbang terbesar hasil eksport negara iaitu sebanyak 41 peratus atau RM228 bilion pada 2009.

Namun begitu, industri E&E kita lebih tertumpu kepada aktiviti pemasangan. Kita sepatutnya menggunakan kelebihan pengalaman untuk mewujudkan syarikat E&E tempatan yang berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Oleh itu, sebanyak RM857 juta akan disediakan bagi syarikat tempatan yang melabur dalam aktiviti E&E bernilai tambah tinggi, terutamanya di Pulau Pinang dan Kulim High-Tech Park di Kedah.



31. Selain itu, industri minyak, gas dan tenaga merupakan antara penyumbang utama kepada pendapatan ekonomi negara.

Pada 2009, industri ini menyumbang 10.2 peratus kepada KDNK dengan pendapatan eksport bernilai RM56 bilion.

Oleh kerana industri ini mempunyai potensi untuk dikembangkan lagi terutamanya aktiviti hiliran, Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM146 juta untuk sektor ini.

Penubuhan Pusat Perkhidmatan dan Peralatan Minyak utama rantau Asia di Johor pula, membabitkan pelaburan swasta sebanyak RM6 bilion dalam tempoh 10 tahun.

Bagi mengatasi kekangan bekalan gas pula, Petronas akan melaksanakan projek regasification dengan kos pelaburan RM3 bilion di Melaka yang dijangka mula beroperasi pada 2012.



32. Kerajaan komited untuk memajukan teknologi hijau bagi menjamin kelestarian pembangunan negara.

Sehubungan itu, Kerajaan terus menyediakan beberapa insentif:



Pertama: Taraf Perintis dan Elaun Cukai Pelaburan bagi aktiviti penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2015;



Kedua: Pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan penjanaan tenaga daripada sumber yang boleh diperbaharui dan penjimatan tenaga dilanjutkan sehingga 31 Disember 2012;



Ketiga: Pengecualian cukai ke atas pendapatan daripada perdagangan sijil Certified Emission Reductions (CERs) dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2012; dan



Keempat: Pengecualian duti import sepenuhnya dan duti eksais 50 peratus diberi kepada pemegang francais kereta hibrid sehingga 31 Disember 2010.

Bagi terus menggalakkan pemilikan kereta hibrid, pengecualian duti import dan duti eksais ini dilanjutkan sehingga 31 Disember 2011 dan sebagai galakan tambahan, duti eksais diberi pengecualian sepenuhnya.

Galakan ini juga diperluaskan kepada kereta elektrik serta motosikal hibrid dan elektrik.



33. Malaysia juga komited, mengurangkan pengeluaran karbon intensiti bagi memulihara alam sekitar.

Atas maksud ini, Kerajaan akan melaksanakan antara lain, Program Adunan Biobahan Api dengan Diesel Petroleum (Program B5) secara mandatori bermula di Putrajaya, Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka pada Jun 2011.



34. Kerajaan juga akan melaksanakan mekanisme Feed in Tariff, (FiT) di bawah Akta Tenaga Boleh Diperbaharui (RE) bagi membenarkan tenaga elektrik daripada sumber RE oleh pemaju bebas dan individu dijual kepada syarikat utiliti bekalan elektrik.



35. Dalam menyuburkan sektor pertanian, Kerajaan memperuntukkan RM3.8 bilion bagi 2011 supaya menjadi lebih produktif dan menjana pulangan lumayan.

Antara tindakan yang akan diambil adalah:



Pertama: Membangunkan Zon Akuakultur Bersepadu dengan skala besar, di Pitas, Sungai Telaga dan Sungai Padas di Sabah serta di Batang Ai dan Tanjung Manis di Sarawak yang menepati piawaian serta menghasilkan produk berkualiti dengan peruntukan RM252 juta;



Kedua: Sejumlah RM235 juta disediakan bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran padi di Kawasan Pembangunan Pertanian Muda yakni MADA, Kedah dan kawasan lain dengan menaik taraf sistem pengairan dan penggunaan benih padi bermutu tinggi.



Ketiga: Menggalakkan petani menceburi bidang pertanian bernilai tinggi seperti industri sarang burung walit, akuakultur, rumpai laut, ikan hiasan, herba dan rempah ratus dengan menyediakan peruntukan berjumlah RM135 juta bagi penyediaan prasarana asas;



Keempat: Memperuntuk RM80 juta bagi menjalin kerjasama di antara petani buah-buahan dan sayur-sayuran secara kecil-kecilan dengan syarikat peneraju;



Kelima: Menambah baik Kolej Pertanian di Kubang Pasu, Kedah dengan membina makmal diagnostik yang membabitkan peruntukan RM70 juta;



Keenam: Membina Pusat Penyelidikan Antarabangsa Tanaman Masa Hadapan di Semenyih, Selangor dengan peruntukan sebanyak RM15.7 juta ; dan



Ketujuh: Melanjutkan galakan potongan cukai pendapatan bagi pelabur dan pengecualian cukai pendapatan bagi syarikat yang menjalankan aktiviti pengeluaran bahan makanan selama limatahun lagi, sehingga 2015.



36. Merujuk pula industri pelancongan yang menjana hasil 53 bilion ringgit pada 2009, ia berpotensi untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan serta meningkatkan lagi pendapatan negara.

Berdasarkan Laporan United Nations World Tourism Organisation, pada 2009, Malaysia menduduki tangga ke-9 dari segi bilangan ketibaan pelancong.

Usaha akan dipergiatkan lagi untuk menarik lebih ramai pelancong dengan menyediakan pakej dan produk pelancongan yang inovatif.

Untuk ini, Kerajaan akan melaksanakan inisiatif seperti berikut:



Pertama: Memperuntukkan sebanyak RM85 juta untuk menyediakan kemudahan infrastruktur bagi membolehkan pembinaan hotel dan resort peranginan di kawasan pedalaman yang berpotensi menarik pelancong;



Kedua: Membina beberapa laluan pejalan kaki berbumbung di kawasan lingkaran KLCC-Bukit Bintang dengan peruntukan sebanyak RM50 juta;



Ketiga: Menyusun semula Jabatan Penerbangan Awam menjadi Lembaga Penerbangan Awam; dan



Keempat Nexus Karambunai, sebuah resort terkemuka di Sabah telahpun komited untuk membangunkan resort bersepadu eco-nature yang pertama seumpamanya di dunia, bagi memanfaatkan kelebihan keindahan alam semula jadi, dan keunikan tersendiri di Karambunai, Sabah berjumlah RM3 bilion akan bermula tahun hadapan.

Bagi menyokong industri pelancongan di Malaysia, Kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta;



37. Seterusnya, bagi menjadikan Malaysia destinasi utama membeli belah (shopping haven) di rantau Asia dengan menawarkan barangan berjenama pada harga yang kompetitif.

Kerajaan mencadangkan supaya duti import ke atas kira-kira 300 barangan kegemaran pelancong dan rakyat tempatan, pada kadar lima peratus sehingga 30 peratus dimansuhkan.

Barangan ini merangkumi kegunaan harian seperti beg tangan, kasut, sut, baju kanak-kanak, dompet, pewarna rambut, bola golf, barang kemas tiruan, bedak talkum, syampu, langsir, alas meja, selimut, cadar, kemeja, baju tidur, pakaian dan pakaian malam, seluar dan seluar dalam serta wangi-wangian, termasuklah kelambu.



38. Pada masa kini, hasil eksport minyak sawit mentah berjumlah RM37 bilion, manakala produk berasaskan minyak sawit mencecah RM13 bilion pada 2009.

Industri ini sebenarnya boleh diperkembangkan lagi di peringkat hiliran untuk menjana pendapatan lebih besar kepada pengusaha estet dan pekebun kecil.

Dalam usaha memangkin industri minyak sawit dan produk berkaitan, beberapa langkah akan dilaksanakan:



Pertama: Meningkatkan produktiviti dengan menggalakkan penanaman semula pokok sawit lama dengan klon baru bermutu tinggi dengan dana sebanyak RM297 juta; dan



Kedua: Sejumlah RM127 juta diagihkan bagi menyokong syarikat oleo derivatives tempatan serta sejumlah RM23 juta untuk mengembangkan industri hiliran minyak sawit, termasuk pengeluaran vitamin.



39. Pembangunan Koridor Multimedia akan memasuki fasa ketiga, bermula tahun hadapan.

Tumpuan diberikan kepada penjanaan ekonomi digital yang inovatif bagi mencapai sasaran negara berpendapatan tinggi.

Dalam meningkatkan potensi industri teknologi maklumat ICT, program MY Creative Content akan dilaksana bagi menggalakkan pembangunan penciptaan kandungan tempatan, hosting kandungan tempatan dan pembukaan saluran baru untuk kandungan.

Program ini membabitkan peruntukan sebanyak RM119 juta.



40. Kerajaan, akan juga melanjutkan tempoh galakan elaun pelaburan kepada penyedia kemudahan sambungan terakhir perkhidmatan jalur lebar, dan juga melanjutkan pengecualian duti import dan cukai jualan ke atas peralatan jalur lebar selama dua tahun sehingga 2012.



41. Pada masa ini, telefon bimbit biasa dikenakan cukai jualan 10 peratus manakala telefon bimbit yang mempunyai pelbagai aplikasi seperti internet dan personal digital assistant (PDA) dikecualikan cukai jualan.

Bagi tujuan penyelarasan, Kerajaan mencadangkan, cukai jualan, dikecualikan, ke atas semua jenis telefon bimbit.



42. Kerajaan akan terus menggalakkan sektor perkhidmatan perniagaan sejajar dengan peningkatan permintaan untuk membaik pulih dan menyelenggara kapal terbang serta helikopter.

Kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang akan dibangunkan sebagai pusat penyelenggaraan dan membaik pulih kapal terbang serta mengadakan latihan khusus untuk melahirkan pakar dalam bidang tersebut.

Kerajaan, akan menyediakan sejumlah RM91 juta untuk pembangunan modal insan dalam industri perkhidmatan penyelenggaraan, baik pulih dan rombak rawat atau MRO, program latihan kejuruteraan aerospace dan aeronautical serta promosi perkhidmatan penyumberan luar perniagaan.



43. Pembangunan koridor dan wilayah akan dipercepatkan dengan memberi tumpuan kepada sebilangan kluster yang mempunyai kelebihan dari segi pengkhususan dan geografi.

Usaha membangunkan kawasan koridor akan berfokus kepada projek usaha sama antara pelabur luar dan tempatan serta industri yang mempunyai kelebihan daya saing dan berimpak tinggi dengan bajet RM850 juta bagi menyediakan infrastruktur sokongan.



44. Di Iskandar Malaysia, sejumlah RM339 juta disediakan oleh Kerajaan, antaranya membina lebuh raya, memajukan kawasan perumahan serta menyedia dan memperbaiki perkhidmatan pengangkutan awam.

Manakala, pelaburan komited oleh pihak swasta di wilayah ini sehingga Jun 2010, berjumlah RM62 bilion, melepasi sasaran RM47 bilion.

Jumlah yang telah dilaburkan sehingga Jun 2010 ialah RM25 bilion.

Projek yang dijangka siap dalam 2011 adalah Newcastle University Medicine Malaysia, Chelsea Factory Outlet serta Legoland dan Marlborough College pada 2012.



45. Bagi Wilayah Ekonomi Koridor Utara pula, diperuntukkan RM133 juta, antaranya untuk membangun Pusat Pemprosesan Hasil Pertanian, Infrastruktur Pelancongan dan Pusat Inkubator Bioteknologi.

Di Wilayah Ekonomi Pantai Timur, peruntukan RM178 juta disediakan antaranya bagi melaksanakan projek Taman Industri, Loji Rawatan Air, pembangunan kawasan pelancongan serta kawasan bekas Lembaga Kemajuan Pahang Tenggara dan Lembaga Kemajuan Wilayah Jengka.



46. Bagi wilayah SCORE, sejumlah RM93 juta disediakan untuk projek kemudahan telekomunikasi, bekalan air, lapangan terbang, jalan raya serta taman industri makanan halal.

Manakala, bagi Koridor Pembangunan Sabah, diperuntukkan RM110 juta antaranya untuk projek kelompok industri kelapa sawit, agro-industrial presint dan pusat penternakan bersepadu.



47. Selanjutnya, untuk melonjak ekonomi ke arah sebuah negara berpendapatan tinggi, aktiviti penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan (R&D&C) akan dijadikan landasan peningkatan aktiviti nilai ditambah dalam setiap bidang ekonomi dengan bajet sebanyak RM411 juta.



48. Kerajaan juga telah menubuhkan Unit Inovasi Khas (UNIK) di bawah Jabatan Perdana Menteri sebagai pusat sehenti untuk merangka dasar dan strategi bagi menyediakan ekosistem kondusif.

Satu Akta akan digubal untuk membolehkan UNIK mengkomersilkan hasil penemuan R&D oleh universiti dan institusi penyelidikan.

Beberapa program dan aktiviti akan dirangka untuk meningkatkan inovasi, penciptaan produk baru dan pengkomersilan.

Bagi 2011, UNIK diperuntukkan sebanyak RM71 juta ringgit.



49. Tentu ramai yang tahu, ketika krisis ekonomi melanda, terdapat usahawan dan individu menghadapi masalah kewangan dan ada di antara mereka diisytiharkan bankrap.

Mereka telah disenarai hitam dan tidak dapat berniaga atau membuat pinjaman.

Untuk memberi peluang kedua, Akta Insolvensi baru akan menyatukan Akta Kebankrapan 1967 dan Bahagian 10 Akta Syarikat 1965, termasuk memperkenalkan peruntukan berkenaan mekanisme penyelamat bagi syarikat dan individu bermasalah kewangan yang membabitkan perubahan had minimum kebankrapan pada masa ini berjumlah RM30,000.



50. Industri kreatif mempunyai potensi besar untuk dimajukan lagi bagi menjana pendapatan negara. Industri ini meliputi animasi, pengiklanan, perfileman, seni reka fesyen, kraf dan warisan budaya.

Untuk memanfaatkan potensi industri ini, Kerajaan akan membangunkan dasar industri kreatif secara bersepadu.

Sejumlah RM200 juta disediakan untuk perolehan hasil kreatif seperti filem, drama dan dokumentari keluaran tempatan yang berkualiti tinggi.



51. Sementelahan itu, kedudukan kewangan yang kukuh adalah penting bagi menjamin kesejahteraan masa depan negara.

Bagi mencapai matlamat ini, Kerajaan mencadangkan supaya kadar cukai perkhidmatan dinaikkan hanya satu peratus kepada enam peratus.

Kerajaan percaya langkah kenaikan yang kecil ini tidak membebankan kerana rakyat mempunyai pilihan untuk mendapat perkhidmatan yang tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

Malah, nilai jualan tahunan (threshold) bagi perkhidmatan sedia ada masih lagi dikekalkan.

Seiring dengan hala tuju ini, Kerajaan juga mencadangkan cukai perkhidmatan dikenakan ke atas perkhidmatan penyiaran TV berbayar.



52. Kerajaan akan meneruskan usaha untuk memperkukuhkan kedudukan kewangan negara dengan memantapkan kutipan hasil dan memastikan perbelanjaan secara berhemat.

Ini termasuklah menekankan nilai untuk wang (value-for-money) dan pengurusan nilai (value management) secara menyeluruh.

Sebagai contoh, langkah yang diambil termasuklah tender terbuka, tender terhad dan peraduan reka bentuk yang terbaik untuk hospital Kerajaan.

Bagi memantapkan kutipan hasil, Kerajaan akan memperkukuhkan lagi sistem kutipan cukai dengan meningkatkan penguatkuasaan dan pengauditan serta memperluaskan liputan ke atas semua pihak yang sepatutnya membayar cukai.



53. Strategi kedua adalah membangunkan modal insan. Aset negara yang paling penting bagi sesebuah negara adalah modal insannya.

Telah terbukti bahawa negara yang tidak mempunyai sumber asli tetapi bijak mengurus modal insan akan mencapai kejayaan lebih baik dari negara yang semata-mata bergantung kepada sumber aslinya.

Malaysia tidak mampu terperangkap dengan ketagihan sumber asli yang bersifat boleh pupus.

Syukur, kita telah berjaya mengurus sumber asli kita dengan baik tetapi kita juga berkewajipan merancang pembangunan modal insan secara lestari, jika tidak, kita tidak akan mampu mengoptimumkan potensi nasional.



54. Modal insan yang berkualiti, berkemahiran dan berpengetahuan, kreatif dan inovatif adalah prasyarat bagi mencapai status negara maju berpendapatan tinggi.

Oleh itu, aspek pendidikan dan latihan akan disusun semula dan diperkukuhkan.

Untuk tujuan ini, belanja mengurus diperuntukkan sebanyak RM29.3 bilion untuk Kementerian Pelajaran, RM10.2 bilion disediakan untuk Kementerian Pengajian Tinggi dan RM627 juta untuk Kementerian Sumber Manusia.



55. Sejak sekian lama, pendidikan anak-anak Malaysia adalah sesuatu yang dekat di hati saya.

Justeru, Kerajaan tidak akan berdikit dalam soal pendidikan anak-anak kita dan kita tidak akan berkompromi dengan kualiti sistemnya.

Mereka mesti disediakan dengan segala kelebihan untuk bersaing menghadapi zaman yang penuh mencabar.



56. Menyedari hakikat inilah, bagi menambah bilangan tenaga kerja yang berbakat dan berkualiti di pasaran tempatan, Kerajaan akan berusaha untuk menarik, memotivasi dan mengekalkan modal insan yang berkemahiran dari dalam dan luar negara.

Justeru, Kerajaan akan menubuhkan Talent Corporation di bawah Jabatan Perdana Menteri pada awal 2011.

Talent Corp ini akan menggubal National Talent Blueprint dan membangunkan pangkalan data tenaga kerja berkepakaran serta menjalin kerjasama dengan jaringan bakat di seluruh dunia.



57. Sistem pendidikan negara akan dirombak dengan memberi penekanan kepada daya pemikiran, sahsiah diri, kreativiti, inovasi dan daya saing. Untuk Kementerian Pelajaran, peruntukan pembangunan sebanyak RM6.4 bilion disediakan bagi membina dan menaik taraf sekolah, asrama, kemudahan dan peralatan serta memartabatkan profesion guru.

Di samping itu, sejumlah RM213 juta dibajet sebagai ganjaran kepada sekolah berprestasi tinggi serta imbuhan kepada Pengetua atau Guru Besar dan Guru Cemerlang.



58. Anak-anak itu fitrah, ibarat kain yang putih. Kerana itulah, pembangunan modal insan mesti bermula dari peringkat kanak-kanak supaya mereka dapat dipupuk dengan nilai murni dan disemai dengan ilmu pengetahuan. Bagi mencapai hasrat ini, Kerajaan akan meningkatkan kadar enrolmen prasekolah dengan sasaran 72 peratus menjelang akhir 2011 melalui penambahan 1,700 kelas, pemantapan kurikulum serta pelantikan 800 guru prasekolah lepasan Ijazah.



59. Kerajaan juga memperuntukkan RM111 juta untuk program PERMATA, antaranya bagi pembinaan Fasa II Kompleks Sekolah PERMATA Pintar, membina 32 Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) dan membiayai operasi 52 PAPN yang telah siap serta meneruskan program PERMATA Pintar, Seni, Insan dan Remaja.



60. Setiap anak Malaysia juga tidak kira apapun latar kaum, adalah aset nasional dan warisan masa depan negara.

Bidang pendidikan haruslah bersifat lampau politik. Menjunjung maksud ini, Kerajaan telah menyediakan peruntukan pembangunan sebanyak RM250 juta untuk sekolah bantuan modal agama, sekolah bantuan modal jenis kebangsaan Cina, sekolah kebangsaan Tamil, sekolah bantuan modal mubaligh dan sekolah bantuan Kerajaan seluruh negara.



61. Sebagai mengiktiraf pendidikan Islam pula, Kerajaan bersetuju untuk membiayai bantuan per kapita untuk sekolah-sekolah agama rakyat rendah dan menengah dengan peruntukan sebanyak RM95 juta .



62. Selanjutnya, bagi menyediakan guru serta tenaga pengajar kompeten dan berkualiti yang dapat membimbing dan mendidik pelajar sekolah dengan sebaiknya, Kerajaan telah menyediakan RM576 juta dalam bentuk biasiswa kepada mereka yang ingin melanjutkan pengajian.



63. Sejumlah RM213 juta ringgit pula diperuntukkan bagi mengangkat tinggi penguasaan Bahasa Malaysia, mempersadakan Bahasa Inggeris dan memperkemaskan Kurikulum Standard Sekolah Rendah.

Sehubungan dengan ini, Kerajaan bersetuju untuk mengambil 375 guru penutur jati antaranya daripada United Kingdom dan Australia untuk meningkatkan lagi pengajaran Bahasa Inggeris.



64. Memperkasa institusi pengajian tinggi bertaraf dunia merupakan agenda utama Kerajaan kerana sumbangannya yang signifikan kepada kemajuan sosioekonomi negara. Langkah berikut akan dilaksanakan:



Pertama: Menambah peratusan staf akademik berkelulusan PhD kepada 75 peratus bagi universiti penyelidikan dan 60 peratus bagi IPTA lain dengan peruntukan sebanyak RM20 juta dan



Kedua: Menambah baik peluang kenaikan pangkat pensyarah di IPTA di mana pensyarah boleh dipertimbangkan kenaikan pangkat ke peringkat tertinggi Gred Turus III,II dan I serta dianugerahkan sebagai Profesor Ulung tanpa memegang jawatan pentadbiran.



65. Berkaitan itu, Kerajaan menyediakan RM60 juta bagi mempergiatkan lagi Program Industrial Skill Enhancement Programme di Pusat Latihan Kemahiran Negeri.

Program ini akan meningkatkan kemahiran graduan kejuruteraan dan pekerja teknikal selaras dengan keperluan pasaran.

Di samping itu, sejumlah RM220 juta turut disediakan bagi memastikan siswazah jurusan lain dapat mengembang kompetensi dan kebolehpasaran mereka.

Antaranya, melalui Program Pentauliahan Profesional, Pembangunan Sukan, Pembangunan Keusahawanan dan Skim Pengurusan Kebolehpasaran Siswazah.

Selain itu, Kerajaan juga akan menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta kepada Multimedia Development Corporation untuk melatih graduan dalam bidang ICT supaya dapat meningkatkan kebolehpasaran dan memenuhi keperluan industri ICT.



66. Golongan bukan siswazah seperti lepasan sekolah, belia dan pekerja, juga, diberi perhatian oleh Kerajaan, memandangkan tenaga mereka diperlukan, terutamanya oleh industri dalam bidang teknikal.

Untuk itu, sejumlah RM474 juta diagihkan bagi meningkatkan produktiviti dan kemahiran di bawah pelbagai institusi latihan.



67. Seperkara yang penting, negara memerlukan modal insan yang sentiasa menambah ilmu pengetahuan melalui peningkatan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru (upskilling and reskilling).

Sehubungan itu, sukacita saya mengumumkan Program Latihan 1Malaysia (1Malaysia Training Programme) yang akan dilaksanakan mulai Januari 2011 dengan peruntukan sebanyak RM500 juta.



68. Program latihan ini mempunyai tiga komponen. Pertama, sebanyak RM200 juta untuk menjalankan latihan sambilan di sebelah malam dan di hujung minggu, di pusat latihan terpilih, di seluruh negara.

Ia akan dikendalikan oleh Kolej Komuniti, Institut Kemahiran Belia Negara, Pusat Giat Mara dan Institut Latihan Perindustrian dengan kemudahan sedia ada.

Antara kursus yang ditawarkan pada sebelah malam adalah kursus Bahasa Melayu, Bahasa Mandarin, Bahasa Tamil, Bahasa Inggeris, Bahasa Arab dan kelas muzik.

Manakala, di hujung minggu kursus berbentuk kemahiran dan teknikal akan dilaksanakan termasuk bakeri, menjahit, spa, mekanik, elektrik dan kimpalan.



69. Kedua, Program Latihan 1Malaysia juga meliputi peruntukan RM200 juta dari Tabung Pembangunan Sumber Manusia yang membolehkan syarikat membiayai program latihan khusus bagi pekerja mereka.

Ketiga, Kementerian Sumber Manusia juga menyediakan RM100 juta untuk membolehkan pekerja meningkatkan kemahiran dalam pelbagai bidang teknikal.



70. Selaras dengan peningkatan produktiviti, golongan pekerja seharusnya mendapat upah dan ganjaran yang lebih tinggi untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Sukacita saya mengumumkan, penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara untuk menjadi platform utama dalam penetapan upah. Majlis ini yang akan diwakili oleh majikan, kesatuan pekerja, kumpulan pekerja tanpa persatuan, agensi Kerajaan, akademia, NGO dan individu.

Sekretariat bagi majlis ini adalah Kementerian Sumber Manusia.



71. Kadar dan mekanisme penetapan gaji minimum akan ditentukan oleh Majlis Konsultasi Gaji Negara.

Contohnya, pada masa ini, gaji pokok permulaan posmen telah dinaikkan kepada RM710 sebulan pada 1 Julai 2010 berbanding RM610.

Dengan kenaikan ini, upah keseluruhan posmen meningkat daripada RM1,035 sebulan kepada RM1,285, termasuk elaun tetap.

Bagi pengawal keselamatan pula, Kerajaan akan menguat kuasa gaji pokok minimum kepada RM500 hingga RM700 sebulan mengikut kawasan berbanding RM300 hingga RM400 pada masa ini.

Dengan kenaikan ini, pendapatan keseluruhan pengawal keselamatan, termasuk elaun adalah melebihi seribu ringgit sebulan. Kenaikan ini berkuat kuasa mulai Januari 2011.

72. Selain itu, Kerajaan akan meneruskan langkah pengurangan bilangan pekerja asing dengan menaikkan levi secara berperingkat mengikut sektor.

Pada masa yang sama, majikan akan diwajibkan untuk memperoleh insurans kesihatan bagi pengambilan pekerja asing mereka.



73. Wanita yang membentuk separuh penduduk Malaysia adalah nadi keluarga dan pembangunan negara.

Oleh sebab itu, Kerajaan mengiktiraf peranan yang dimainkan oleh wanita pabila negara bergerak menuju kemajuan. Bagi meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang keusahawanan, Kerajaan memperuntukkan RM30 juta, antaranya memperkenalkan Program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal dan mengadakan Anugerah Perdana Usahawan dan Tokoh Aktivis Wanita bersempena Hari Wanita mulai 2011.



74. Demi menggalakkan penyertaan lebih ramai wanita sebagai pekerja separuh masa, Kerajaan telah menguatkuasakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 mulai 1 Oktober 2010.

Lantas, saya menyeru pihak swasta dapat mengambil pekerja separuh masa wanita, terutamanya mereka yang telah berumah tangga.

Kerajaan juga akan melaksanakan program perintis Small Office Home Office untuk wanita kurang upaya selama tiga bulan bagi melatih wanita OKU dalam pelbagai bidang kemahiran.



75. Laginya, bagi membantu golongan wanita yang tidak berkemampuan, mendapat perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti bagi anak-anak mereka, Kerajaan akan menyedia dan menjenamakan semula 40 TASKA 1Malaysia, dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.



76. Sememangnya pun, Kerajaan sungguh mengambil berat dengan kerjaya dan kebajikan penjawat awam wanita.

Mereka juga perlu memberi tumpuan kepada penjagaan keluarga, terutamanya anak yang baru dilahirkan.

Bagi menambah baik kemudahan cuti bersalin kepada penjawat awam wanita, Kerajaan memberi fleksibiliti untuk menentukan sendiri tempoh Cuti Bersalin bergaji penuh tidak melebihi 90 hari berbanding 60 hari pada masa ini.

Kemudahan tersebut adalah tertakluk kepada kelayakan keseluruhan bilangan Cuti Bersalin sebanyak 300 hari sepanjang tempoh perkhidmatan.



77. Dari semasa ke semasa, Kerajaan telah merintis jalan dan membuka peluang kepada wanita berkelayakan memegang jawatan di peringkat tertinggi dalam perkhidmatan awam.

Pada akhir 2009, wanita yang memegang Jawatan Utama Sektor Awam telah mencapai tahap 30.5 peratus.

Justeru, saya ingin menyeru pihak swasta memberi peluang kepada lebih ramai wanita menjawat jawatan di peringkat pembuat keputusan, khususnya sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif.



78. Kerajaan akan terus menggalakkan pembangunan dan penyelidikan sukan, memperbanyakkan penganjuran sukan antarabangsa, menyediakan kemudahan dan kepakaran untuk melahirkan atlet yang berdaya saing dan membangunkan sukan berprestasi tinggi.

Untuk pembangunan dan mengurus aktiviti sukan, sebanyak RM365 juta disediakan kepada Kementerian Belia dan Sukan.

Selain itu, bagi memajukan sukan bola sepak, Kerajaan akan menubuhkan Akademi Bola Sepak, di Pahang, dengan peruntukan RM20 juta, bagi melahirkan pemain bola sepak yang berkualiti dan berkemahiran tinggi.



79. Bercakap tentang sukan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas kepada semua atlet negara yang telah menyertai Sukan Komanwel Ke-19 di New Delhi. Saya mengucapkan tahniah kepada pemenang pingat yang telah mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa yang telah melepasi sasaran 10 emas dengan menggondol 12 pingat emas.

Untuk makluman semua, pencapaian pingat di temasya kali ini menyaksikan rekod rangkulan emas terbaik negara dalam penyertaan Sukan Komanwel.



80. Strategi ketiga adalah mensejahterakan hidup rakyat. Sudah lumrahnya, tugas dan tanggungjawab utama Kerajaan adalah untuk memartabatkan kehidupan rakyat. Status negara maju tidak akan bermakna jika kualiti hidup rakyatnya merosot.

Pokoknya, dalam usaha kita menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi, kita perlu memantapkan pembangunan sosioekonomi secara inklusif.

Ini penting bagi menghasilkan kemajuan yang lebih seimbang dan memastikan kualiti hidup yang lebih baik.



81. Ternyata, Kerajaan menjiwai keluh kesah dan kesukaran hidup yang dihadapi oleh golongan kurang bernasib baik.

Tumpuan akan terus diberikan untuk memastikan kebajikan mereka terpelihara. Bagi 2011, Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion kepada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk menjalankan pelbagai program berbentuk kebajikan dan kemasyarakatan. Antara program dan insentif yang disediakan:



Pertama: Program bantuan kebajikan warga emas dengan peruntukan RM166 juta untuk mengatasi masalah golongan ini yang dijangka meningkat melebihi 15 peratus daripada jumlah penduduk negara menjelang 2030;



Kedua: Program bantuan kanak-kanak dengan peruntukan RM121 juta disediakan bagi membolehkan mereka menerima perkhidmatan pengasuhan dan pendidikan awal yang berkualiti. Program ini akan memanfaatkan seramai 97,000 kanak-kanak;



Ketiga: Program bantuan kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM218 juta akan dimanfaatkan oleh 80,000 OKU;



Keempat: Pengecualian duti eksais dinaikkan daripada 50 peratus kepada 100 peratus ke atas sebuah kenderaan nasional yang dibeli oleh OKU; dan



Kelima: Membina sebuah pusat intervensi bagi menangani golongan tuna wisma dan gelandangan dengan menyediakan peluang pekerjaan, kemudahan perumahan dan kaunseling.



82. Sementara itu, sejak 2008, Kerajaan telah memberikan rebat bayaran bil elektrik bagi penggunaan bawah RM20 sebulan yang telah membawa manfaat kepada lebih satu juta pengguna di seluruh negara.

Sehubungan itu, Kerajaan berkeputusan meneruskan usaha murni ini dengan peruntukan RM150 juta untuk meringankan beban golongan berpendapatan rendah.



83. Para pendeta bermadah, kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah berkorban raga. Pada masa ini, pelepasan cukai ke atas perbelanjaan perubatan ibu bapa terhad kepada perubatan di klinik dan hospital, termasuk rawatan di nursing home serta rawatan pergigian.

Bagi terus membantu meringankan kos membiayai perbelanjaan penjagaan ibu bapa, Kerajaan mencadangkan pelepasan cukai sehingga RM5,000 yang sedia ada diperluaskan bagi meliputi perbelanjaan lain seperti bayaran menghantar ibu bapa ke rumah jagaan harian, bayaran menggaji pembantu khusus menjaga ibu bapa dan perbelanjaan keperluan harian mereka yang lain seperti lampin pakai buang.



84. Kerajaan sangat memahami keperluan setiap rakyat untuk memiliki rumah yang selesa, terutamanya bagi golongan miskin dan berpendapatan rendah. Untuk itu, sejumlah RM568 juta disediakan bagi membina 300 unit kediaman di bawah Projek Bantuan Perumahan Bandar, 79,000 unit di bawah Program Perumahan Rakyat dan 8,000 unit di bawah Projek Bantuan Sewa Rumah.

Selain itu, bagi membantu golongan pekerja estet memiliki rumah, Kerajaan akan menyediakan Skim Pembiayaan Perumahan Kos Rendah dengan peruntukan RM50 juta yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional.

Skim ini terbuka kepada pekerja tetap estet, warganegara Malaysia, untuk mendapatkan pinjaman perumahan maksimum sebanyak RM60,000 bagi membeli rumah kos rendah pada kadar faedah maksimum empat peratus dengan tempoh pinjaman sehingga 40 tahun, menjangkau generasi kedua.



85. Sesungguhnya lagi, Kerajaan maklum akan kesukaran yang dihadapi oleh rakyat terutama golongan muda yang baru bekerja dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan untuk memiliki rumah.

Bukan mudah untuk mereka bertatih dalam realiti kehidupan.

Untuk membantu golongan ini, Kerajaan akan memperkenalkan Skim Rumah Pertamaku melalui Cagamas, yang akan menawarkan jaminan Kerajaan ke atas bayaran pendahuluan sebanyak 10 peratus bagi harga rumah di bawah RM220,000.

Skim ini adalah untuk pembeli rumah pertama yang berpendapatan isi rumah kurang daripada RM3,000 sebulan.

Dalam kata lain, pembeli rumah mendapat pinjaman 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan 10 peratus wang pendahuluan, seperti amalan lazim.



86. Pada masa yang sama, hanya, pembeli rumah pertama juga akan diberi pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus ke atas surat cara pindah milik sebuah rumah yang berharga tidak melebihi RM350,000.

Kerajaan juga mencadangkan pengecualian duti setem sebanyak 50 peratus diberi ke atas surat cara perjanjian pinjaman bagi membiayai pembelian rumah pertama tersebut.



87. Usaha untuk membawa pembangunan ke kawasan luar bandar sudah lama bermula di negara ini.

Apabila darurat hampir tamat, Kerajaan pada ketika itu telah menubuhkan Kementerian Pembangunan Negara dan Luar Bandar untuk menerajui usaha membawa nikmat pembangunan ke kawasan luar bandar.

Kerajaan sekarang komited meneruskan usaha ini sekalipun hampir 60 peratus penduduk Malaysia kini tinggal di kawasan bandar.

Apa yang pasti, dalam usaha mentransformasi negara menjadi maju, Kerajaan tidak akan sekali-kali meminggirkan rakyat luar bandar.

Projek dan program pembangunan bagi mempertingkatkan taraf hidup penduduk luar bandar akan diberi keutamaan. Sejumlah RM6.9 bilion disediakan untuk pelaksanaan infrastruktur asas seperti bekalan air, elektrik dan jalan luar bandar.

Antara projek utama yang akan dilaksanakan adalah:



Pertama: Membina dan menaik taraf jalan luar bandar di Sabah dan Sarawak dengan peruntukan berjumlah RM2.1 bilion dan di Semenanjung RM696 juta;



Kedua: Menyedia bekalan air dan elektrik luar bandar di Sabah dengan peruntukan RM1.5 bilion, Sarawak RM1.2 bilion dan Semenanjung RM556 juta;



Ketiga: Melaksanakan program bantuan rumah untuk golongan miskin dan miskin tegar dengan peruntukan RM300 juta.

Program ini membabitkan pembinaan dan baik pulih 12,000 unit rumah di seluruh negara terutamanya di Sabah dan Sarawak; dan



Keempat: Menyediakan Unit Khas Bergerak Jabatan Pendaftaran Negara bagi memudahkan penduduk kawasan terpencil di Sabah, Sarawak dan Semenanjung untuk mendaftar kerakyatan.



88. Bagi meningkatkan pengeluaran makanan, Kerajaan memperuntukkan RM974 juta sebagai pemberian subsidi harga padi, baja dan benih padi serta RM230 juta untuk insentif pengeluaran dan peningkatan hasil padi.

Kerajaan juga menyediakan sejumlah RM170 juta bagi insentif hasil tangkapan ikan nelayan serta pemilik dan pekerja bot untuk meningkatkan hasil tangkapan.



89. Kini, masalah harga barangan lebih tinggi yang dihadapi oleh penduduk di kawasan pedalaman terutamanya di Sabah dan Sarawak serta kawasan tertentu di Semenanjung akibat kos pengangkutan, menjadi perhatian Kerajaan.

Bagi menyeragamkan harga barangan pada kadar yang hampir sama dengan kawasan lain, Kerajaan telah memperkenalkan Program Pengedaran Barang Perlu seperti beras, minyak masak, gula, tepung, gas, petrol dan diesel, pada 2010 dengan peruntukan sebanyak RM100 juta.

Bagi 2011 pula, peruntukan sebanyak RM200 juta disediakan bagi meneruskan program ini.



90. Kita sedia maklum interaksi Kerajaan dan rakyat kerap dibangkitkan mengenai harga barangan runcit.

Dalam konteks ini, Kerajaan akan mewujudkan portal interaktif "1Malaysia Pengguna Bijak" bagi memudahkan rakyat mengikuti perkembangan harga terkini barangan, meliputi hampir 7,000 premis perniagaan seluruh negara.

Melalui portal ini, pengguna mempunyai pilihan untuk mendapatkan sesuatu barangan pada harga yang kompetitif.

Pengguna juga boleh menggunakan khidmat pesanan ringkas untuk mengetahui harga terkini barangan.



91. Selain daripada itu, untuk mengukuhkan lagi sektor pemborongan dan peruncitan, satu Program Transformasi Kedai Runcit (TUKAR), Bengkel Automotif serta projek Pasar Komuniti akan diperkenalkan untuk menaik taraf kemudahan supaya menjadi lebih menarik dan moden dengan peruntukan sebanyak RM73 juta.



92. Tanggapan bahawa kerajaan hanya berminat menumpukan kepada projek berskala besar tanpa mengendahkan kontraktor-kontraktor kecil adalah menyimpang dan tidak benar sama sekali. Hakikatnya, Kerajaan akan terus melaksanakan Projek Penyelenggaraan Aset Awam, atau lebih dikenali sebagai PIA / PIAS, dengan peruntukan RM500 juta.

Antara aktiviti yang terlibat ialah membaik pulih dan menaik taraf kemudahan awam, longkang, perparitan, titi, jambatan kecil dan pendawaian semula serta pembinaan jalan pertanian dan kampung.

Saya yakin pelaksanaan projek seperti ini akan sedikit sebanyak membantu golongan kontraktor kelas F di seluruh negara.



93. Sejak dulu, kini dan selamanya, jasa golongan pemimpin masyarakat tidak pernah dilupa.

Tidak kira di kota atau di desa, sungguh tinggi baktinya. Lalu, untuk menghargai peranan pemimpin di peringkat kampung, Kerajaan akan menaikkan elaun bulanan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Persekutuan (JKKP), Tok Batin, Pengerusi JKKK Orang Asli dan Pengerusi Kampung Baru kepada RM800 sebulan berbanding RM450 pada masa ini.



94. Bagi memastikan elaun ini dinikmati oleh semua Ketua Kampung, elaun ini turut diberi kepada Pengerusi Jawatankuasa Kampung Baru Rangkaian dan Pengerusi Jawatankuasa Kampung Bagan. Kerajaan juga akan menaikkan elaun kehadiran mesyuarat kepada semua Ahli Jawatankuasa dari RM30 kepada RM50 .



95. Di samping itu, elaun bulanan Imam juga akan dinaikkan dari RM450 kepada RM750 sebulan.

Manakala, imbuhan bulanan guru KAFA dinaikkan kepada RM800 sebulan berbanding RM500 pada masa ini berkuat kuasa Januari 2011.



96. Seperti yang kita sedia maklum, kemajmukan Malaysia diasaskan daripada pelbagai suku kaum dan bangsa.

Kita tidak pernah mendiskriminasi kelompok minoriti kerana mereka adalah warganegara dan rakyat Malaysia.

Semua usaha pembangunan dibuat secara inklusif untuk turut meningkatkan taraf sosioekonomi masyarakat Orang Asli dan Pribumi.

Sejumlah RM100 juta diperuntukkan bagi melaksanakan pelbagai program, termasuk menyelesaikan isu pegangan hak milik tanah dan persempadanan penempatan Orang Asli serta membangunkan Model Baru Pembangunan Orang Asli.

Selaras dengan ini, Jabatan Hal Ehwal Orang Asli akan disusun semula dan diperkukuhkan dengan memberi nafas baru sebagai Jabatan Kemajuan Orang Asli.



97. Kerajaan amat prihatin terhadap rakyat yang terpaksa menanggung kos pengangkutan yang semakin meningkat. Untuk meringankan beban pengguna lebuh raya, sukacita saya mengumumkan kadar tol di empat lebuhraya milik PLUS Expressway Berhad tidak akan dinaikkan bagi tempoh 5 tahun akan datang bermula serta-merta.



98. Selanjutnya, Kerajaan komited untuk memastikan akses kepada kesihatan berkualiti dapat dinikmati oleh segenap lapisan rakyat.

Bagi mencapai matlamat ini, sejumlah RM15.2 bilion diperuntukkan bagi membina hospital baru, menambah bilangan doktor dan jururawat serta mendapatkan bekalan ubat dan peralatan perubatan.

Sejak tahun lalu, sejumlah 51 Klinik 1Malaysia sudah beroperasi dan Kerajaan akan menambah lagi sebanyak 25 Klinik 1Malaysia.



99. Keselamatan awam pula merupakan aspek penting dalam mewujudkan persekitaran yang selamat untuk negara.

Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2010, indeks jenayah jalanan menurun 38 peratus manakala indeks jenayah keseluruhan menurun 16 peratus.

Sehubungan itu, Kerajaan akan meneruskan usaha ini dengan peruntukan sebanyak RM350 juta untuk melaksana pelbagai program, termasuk program membanteras jenayah pecah rumah, kecurian motosikal dan kereta serta menjalankan program bandar selamat dan program Skim Rondaan Sukarela, terutamanya di kawasan berisiko tinggi.

Di samping itu, Kerajaan akan menambah 25 mahkamah khas untuk mempercepatkan perbicaraan.



100. Kerajaan menghargai peranan yang dimainkan masyarakat sivil di dalam menyediakan perkhidmatan yang selama ini hanya dimainkan oleh pihak kerajaan.

Kita melihat perkara ini sebagai satu perkara yang positif dan sesuatu yang melengkapi, ianya perlu terus digalakkan.

Kerajaan mengiktiraf sumbangan berharga NGO dalam mengatasi gejala sosial, membantu golongan kurang bernasib baik dan menyediakan kemudahan perlindungan serta menjalankan program latihan dan penjanaan pendapatan.



101. Sebagai tanda pengiktirafan, Kerajaan akan memperuntukkan RM70 juta kepada program dan aktiviti yang melibatkan NGO terpilih bagi membantu Kerajaan dalam memantapkan institusi keluarga dan menangani gejala sosial seperti pembuangan bayi, mat rempit dan gengsterisme.

NGO tersebut akan melaksanakan program bersepadu bersama agensi Kerajaan, terutamanya di kawasan berisiko tinggi berlakunya jenayah supaya ia dapat dicegah lebih awal di peringkat akar umbi.



102. Dalam aspek alam sekitar pula, suasana keliling yang mapan akan terus dipelihara. Sejumlah RM1.9 bilion disediakan untuk membiayai projek pemuliharaan alam sekitar, antaranya melaksanakan program Sungai Nadi Kehidupan dan menghijaukan Kuala Lumpur.

Selain itu, Kerajaan juga akan menjalankan usaha untuk memulihara sumber marin dan persisiran antaranya di Pantai Siring, Melaka; Pantai Sabak di Kelantan, Teluk Lipat di Terengganu dan Rompin di Pahang.



103. Tanggungjawab Sosial Korporat yang semakin menjadi trend kebelakangan ini, begitu kritikal dalam melaksanakan projek kemasyarakatan.

Dalam hubungan ini pada 2011, Khazanah Nasional Bhd dengan kerjasama Kementerian Pelajaran akan menjadikan 10 sekolah sebagai Sekolah Amanah (Trust School) yang dikendali secara lebih profesional untuk memastikan pelajar memperoleh pendidikan berkualiti.

Untuk tujuan ini, selain daripada peruntukan lazim Kerajaan, Sekolah Amanah ini juga akan menerima sumbangan daripada Khazanah Nasional.



104. Untuk membantu kanak-kanak, terutamanya daripada golongan berpendapatan rendah mencapai prestasi yang cemerlang di sekolah pula, 1MDB akan menyediakan multi-vitamin untuk pelajar sekolah rendah.

Program ini diharap akan dapat meningkatkan pembangunan mental dan mengukuhkan sistem imunisasi pelajar sekolah.



105. Berikutan salah satu cadangan daripada makmal Pemuda yang diadakan beberapa bulan yang lalu, 1MDB akan turut menyumbang kepada pembangunan belia negara dengan penubuhan Dana Belia 1Malaysia berjumlah RM20 juta bagi memupuk semangat 1Malaysia.

Dalam bidang kesihatan pula, 1MDB akan melaksanakan Klinik Bergerak 1Malaysia dengan 4 bas Klinik Bergerak dengan kerjasama Kementerian Kesihatan akan disediakan.



106. Strategi keempat adalah memantapkan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam mengemudi Malaysia menjadi negara maju, Kerajaan yang kini mempunyai RM1.2 juta penjawat awam perlu mengoptimumkan sistem penyampaian Kerajaan di mana penambahbaikan sentiasa wajar diambil untuk mempertingkatkan produktiviti negara.



107. Jelasnya, fungsi kerajaan adalah pemudahcara bukan penghadang. Berurusan dengan mana-mana agensi kerajaan seharusnya bersifat menyenangkan bukan menyusahkan.

Untuk itu, Kerajaan akan terus mempermudahkan lagi sektor swasta berurusan dengan agensi Kerajaan.

Ke arah ini, inisiatif MyCoID Gateway yang menggunakan nombor rujukan tunggal Suruhanjaya Syarikat Malaysia bagi menjalankan urusan telah pun dilaksanakan.

Inisiatif MyCoID ini akan diperluaskan ke agensi-agensi dan kementerian lain.



108. Kerajaan juga akan memperkenalkan sistem permarkahan untuk memudahkan permohonan taraf penduduk tetap (PR).

Permohonan PR kini boleh dilakukan selepas lima tahun bermastautin berbanding 10 tahun sebelum ini.

Dengan sistem tersebut, permohonan taraf penduduk tetap akan lebih telus, pantas dan objektif berdasarkan kriteria yang jelas.



109. Bagi mempercepatkan proses pendaftaran hartanah pula, Akta Setem 1949 telah dipinda untuk membolehkan penilaian hartanah oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta dilakukan selepas duti setem dibayar di Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Penambahbaikan ini akan dapat mengurangkan masa pendaftaran hartanah daripada 30 hari kepada satu hari saja.



110. Penjawat awam selaku pelaksana dasar adalah komponen yang amat penting di dalam usaha negara merealisasikan wawasan kebangsaan.

Tanpa agen pelaksana yang cekap, berkesan dan dinamik wawasan negara, akan hanya tinggal sekadar matlamat murni.

Sehubungan dengan itu, dalam usaha berterusan menyediakan kerangka penilaian yang lebih bertanggungjawab, relevan dan menyeluruh serta mengambilkira maklumbalas penjawat awam, Kerajaan bersetuju untuk memansuhkan sistem Penilaian Tahap Kecekapan atau PTK dan diganti dengan satu sistem penilaian yang lebih sesuai dan diterima baik oleh penjawat awam menjelang Jun 2011.



111. Di atas segalanya, Kerajaan sentiasa menghargai sumbangan penjawat awam yang memberi komitmen penuh dalam menjayakan inisiatif Kerajaan, termasuk Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi.

Dengan harapan dan pesanan supaya penjawat awam terus berusaha, Kerajaan akan:



Pertama: Meringankan beban penjawat awam untuk menampung perbelanjaan persiapan sekolah dengan memberi Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500.

Bantuan kewangan ini akan diberi kepada penjawat awam gred 54 dan ke bawah, termasuk pegawai kontrak dan pesara Kerajaan. Pembayaran akan dibuat pada bulan Disember ini;



Kedua: Menaikkan kadar Bantuan Mengurus Jenazah kepada RM3,000 berbanding seribu ringgit pada masa ini selaras dengan kenaikan kos pengurusan jenazah.

Bantuan ini juga akan dipanjangkan kepada pesara Kerajaan; dan



Ketiga: Menyambung perkhidmatan Pegawai Khidmat Singkat yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember 2010 untuk tempoh setahun lagi.

Kementerian dan agensi tidak dibenarkan untuk menambah bilangan Pegawai Khidmat Singkat baru.



112. Tambahan dari itu, bagi memudahkan penjawat awam memiliki rumah serta memperbaiki lagi syarat-syarat untuk membuat pinjaman perumahan, Kerajaan akan:



Pertama: Membenarkan pembelian hartanah daripada ibu, bapa, anak dan adik-beradik;



Kedua: Menggandakan kadar pinjaman kepada RM20,000 berbanding RM10,000 untuk kerja-kerja tambahan rumah kos rendah bagi Kumpulan Sokongan Dua; dan



Ketiga: Menaikkan had kelayakan maksimum pinjaman perumahan kepada RM450,000 berbanding RM360,000 pada masa kini.



Kesemua langkah penambahbaikan pinjaman perumahan ini akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2011.



PERUNTUKAN BAJET 2011



113. Kerajaan komited untuk mempercepatkan proses transformasi dengan melaksanakan projek dan program di bawah RMK-10, NKRA dan NKEA dilaksanakan dengan jayanya.

Untuk melaksanakan strategi dan langkah yang telah dibentang, saya mencadangkan sejumlah RM212 bilion diperuntukkan bagi Bajet 2011 iaitu 2.8 peratus lebih tinggi berbanding peruntukan 2010.

Daripada jumlah itu, RM162.8 bilion adalah bagi perbelanjaan mengurus. Manakala, RM49.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan pembangunan.



114. Di bawah peruntukan mengurus, RM45.6 bilion adalah bagi emolumen dan RM28.2 bilion disediakan bagi Perkhidmatan dan Bekalan. Manakala, RM86.4 bilion diperuntukkan kepada Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap.

Sejumlah RM1.4 bilion disediakan untuk Pembelian Aset dan baki RM1.2 bilion untuk perbelanjaan lain.



115. Bagi peruntukan pembangunan pula, sebanyak RM28.3 bilion disediakan bagi sektor ekonomi untuk menampung keperluan infrastruktur, perindustrian serta pertanian dan pembangunan luar bandar. Sejumlah RM15.5 bilion diperuntukkan bagi sektor sosial, termasuk pendidikan dan latihan, kesihatan, kebajikan, perumahan serta pembangunan masyarakat.

Seterusnya, RM4.4 bilion diperuntukkan bagi pembangunan sektor keselamatan, RM955 juta bagi pentadbiran am dan RM2 bilion untuk simpanan luar jangka.



116. Dari segi kutipan hasil Kerajaan Persekutuan bagi tahun 2011, jumlahnya dianggarkan meningkat 2.3 peratus kepada RM165.8 bilion, berbanding RM162.1 bilion pada 2010.

Dengan mengambil kira anggaran hasil dan perbelanjaan, defisit Kerajaan Persekutuan bagi 2011 dijangka terus berkurangan kepada 5.4 peratus daripada KDNK, berbanding 5.6 peratus pada 2010.



117. Apa yang telah dirangka dan akan dilaksanakan ini merupakan visi bagi memenuhi aspirasi dan impian rakyat.

Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana setiap seorang mampu mencipta kebahagiaan.

Kita mahu membina sebuah Malaysia di mana yang menghadkan kejayaan hanyalah sejauh mana kesanggupan seseorang itu berusaha dan bekerja keras.